Siasat polis trafik ‘flying kick’ penunggang motosikal

POLIS Sarawak sedang menyiasat anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu susulan video tular seorang penunggang motosikal ditendang hingga jatuh di Jalan Temple, Sibu, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas anggota terbabit sekiranya dia didapati bersalah atas perbuatan itu.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan namun tindakan akan diambil jika dia didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika anggota trafik membuat pemeriksaan mengejut ‘Op Motosikal’ di Jalan Temple sekitar jam 12.15 tengah hari.

Kejadian itu dirakam orang awam dan tular di media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet.

Rakaman video itu memaparkan seorang anggota trafik menendang penunggang motosikal yang membuat pusingan ‘U’ secara tiba-tiba selepas ditahan untuk pemeriksaan.

Aidi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motosikal tamat tempoh.

“Penunggang motosikal terbabit juga akan dikenakan tindakan saman kerana menunggang melawan arus dan ubah suai ekzos,” katanya.