Sifu global [METROTV]

Kuala Lumpur: Faiezah Ahmad Fauzi, 34, bukan calang-calang guru bahasa Mandarin kerana dia satu-satunya individu berbangsa Melayu yang mendapat pengiktirafan daripada universiti di China untuk mengajar bahasa Mandarin di mana-mana negara seluruh dunia.

Pengiktirafan itu diperoleh Faiezah yang dianugerahi gelaran Guru Kanan Bahasa Cina daripada Beijing Language Culture University, China selepas beliau menamatkan Program Guru Bahasa Cina Antarabangsa pada 2018.

Untuk rekod, peserta program berkenaan yang berjaya menamatkan program itu akan diberi kebenaran atau permit untuk mengajar bahasa Mandarin di mana-mana negara.

Sebahagian besar peserta program itu pula membabitkan guru bahasa Mandarin dari China, Taiwan, Singapura selain ada juga dari Malaysia.

Faiezah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zazah bagaimanapun tidak bangga dengan pencapaian itu malah, katanya, sehingga kini, dia masih belajar untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Mandarin walaupun memiliki lebih 1,000 penuntut sejak mula mengajar bahasa berkenaan pada 2015.

“Kelas pertama saya hanya membabitkan tiga penuntut dewasa pada akhir 2014. Mereka ialah ibu bapa kepada murid Melayu yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Sejak itu, ramai ibu bapa selain individu pelbagai latar belakang membuat permohonan untuk saya mengajar bahasa Mandarin. Pada 2015, saya mulakan kelas secara sepenuh masa,” katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Individu yang menyertai kelasnya antaranya membabitkan kakitangan awam seperti guru serta swasta seperti doktor selain ahli perniagaan yang kerap berurusan di China.

Menurut Faiezah yang juga isteri kepada Badrunidzamur Mohamed Derapar, 35, dia turut dibantu kakaknya yang turut fasih berbahasa Mandarin, pasukan pengurusan, pemasaran selain beberapa guru Melayu bagi melancarkan operasi.

Katanya yang turut digelar Pakar Bahasa Mandarin, pada awal penubuhan, setiap kelas dihadkan kepada 20 penuntut saja bagi memastikan kualiti pembelajaran.

“Pada 2015 juga, setiap bulan, saya akan buka kelas baru dengan jumlah penuntut kira-kira 20 individu saja. Apabila permintaan bertambah, pada 2016, ketika itu tenaga pengajar juga sudah bertambah, jumlah penuntut dinaikkan kepada 30 hingga 40 bagi setiap kelas.

“Saya kemudian membuka cawangan kelas ini di Bandar Dato’ Onn,” katanya.

CIKGU Zahrah (depan) bersama sebahagian penuntut kelas bahasa Mandarin sebelum pandemik melanda.
CIKGU Zahrah (depan) bersama sebahagian penuntut kelas bahasa Mandarin sebelum pandemik melanda.

Menurut Faiezah yang juga pemegang Sarjana Muda Sains Sosial Psikologi dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar), cabaran mengajar bahasa Mandarin membabitkan kanak-kanak dan penuntut dewasa sangat berbeza.

Katanya, kanak-kanak mudah diajar selain cepat faham kerana fitrah golongan ini yang mudah dibentuk.

“Bagi penuntut dewasa, kekangan utama mereka ialah masa yang mana mereka sukar untuk menyiapkan kerja rumah, kurang latihan komunikasi selain sukar mengikut lenggok ayat,” katanya yang dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Menurutnya, kelas hanya diadakan pada waktu malam dan pada siang, dia serta pasukannya akan menyiapkan bahan pembelajaran.

Selain itu, dia turut menyiapkan bahan untuk kandungan Facebook Kelas Bahasa Mandarin Cikgu Zazah, YouTube selain Instagram.

“Saya bertutur bahasa Mandarin setiap hari sejak hampir 30 tahun. Empat daripada lima adik beradik saya mampu bertutur dalam bahasa ini.

“Ayah saya pula mampu bertutur dalam bahasa Hokkien namun tidak begitu fasih,” katanya yang juga anak kedua.

Menurut Faiezah, suaminya adalah guru mengaji namun sentiasa membantunya untuk menyiapkan bahan mengajar dan pelbagai perkara lain.

“Semua yang saya peroleh ini antaranya lahir daripada kemahuan ibu bapa, khasnya ayah saya, yang mahu anak mereka mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Ayah adalah kontraktor dan sebahagian besar rakannya yang berbangsa Cina juga adalah kontraktor. Dia mahu kami pandai berkomunikasi dalam bahasa Mandarin kerana ia memudahkan pelbagai perkara, khasnya dalam bidang perniagaan,” katanya.

SUASANA dalam kelas bahasa Mandarin Cikgu Zazah sebelum pandemik.
SUASANA dalam kelas bahasa Mandarin Cikgu Zazah sebelum pandemik.

Pada masa sama, menurut Faiezah, dia juga akan membantu guru SJKC yang berdepan sedikit kekangan untuk mengajar anak murid Melayu di kelas.

Katanya, ada dalam kalangan guru SJKC kurang mahir dalam kaedah mengajar bahasa Mandarin membabitkan murid Melayu.

“Guru SJKC ini pakar bahasa Mandarin namun ada kaedah tertentu yang boleh digunakan untuk mengajar murid Melayu.

“Saya akan berkongsi tip dengan guru ini berkaitan kaedah sesuai untuk mengajar murid Melayu malah kami juga bertukar fikiran berkaitan aspek pengajaran serta pembelajaran,” katanya.

Untuk masa depan, Faiezah hanya ada satu misi iaitu mengajar bahasa Mandarin kepada seramai mungkin individu yang memerlukan.

“Walaupun tidak boleh ramai dalam sesebuah kelas, namun saya mahu pastikan biarlah yang menyertai kelas saya ini akhirnya fasih berbahasa Mandarin.

“Sepanjang tempoh pandemik ini, kelas fizikal juga tiada sebaliknya lebih kepada atas talian. Ketika ini, di FB saja, saya ada lebih 1,000 penuntut dan saya mahu pastikan, mereka menerima yang terbaik daripada saya dan rakan guru lain,” katanya.