Singapura tambah S$8 bilion bagi langkah-langkah sokongan untuk pekerja dan perniagaan

Heng berkata situasi COVID-19 di Singapura kini terkawal dengan Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian berusaha menyambung semula lebih banyak aktiviti dengan cara yang selamat dan mampan. – Gambar fail

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat pada Isnin mengumumkan tambahan S$8 bilion bagi langkah-langkah sokongan untuk pekerja dan perniagaan di republik ini berikutan ekonomi global yang lemah akibat pandemik COVID-19.

Ia merupakan tambahan kepada S$100 bilion dalam empat belanjawan yang diumumkan sebelum ini.

"Kami berhasrat untuk membiayai langkah-langkah ini dengan memperuntukkan semula wang daripada bidang lain, seperti perbelanjaan pembangunan yang tertangguh berikutan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan mengenai langkah-langkah sokongan itu di sini.

Heng berkata tiada pelan untuk mengeluarkan rizab bagi menampung langkah-langkah itu, selain daripada apa yang telah diluluskan sebelum ini.

Beliau berkata situasi COVID-19 di republik ini kini terkawal dengan Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian berusaha untuk menyambung semula lebih banyak aktiviti dengan cara yang selamat dan mampan.

Bagaimanapun, katanya ekonomi global kekal amat lemah.

"Ia banyak bergantung kepada sejauhmana negara-negara dapat membendung penularan virus tersebut. Vaksin yang berkesan, walaupun ditemui, akan mengambil masa untuk dihasilkan dan diedarkan.

"Beberapa negara yang telah dibuka semula sebaliknya mengalami gelombang jangkitan baharu. Ini menjejaskan pemulihan ekonomi mereka," katanya.

Heng berkata langkah-langkah itu disusun untuk tiga bidang iaitu kerajaan akan terus menyokong pekerjaan dan mewujudkan pekerjaan baharu; memberi sokongan kepada sektor yang terjejas teruk; dan menempatkan Singapura untuk merebut peluang pertumbuhan dalam dunia selepas COVID-19.

Dalam memperincikan langkah-langkah sokongan untuk sektor yang terjejas teruk, Heng berkata sokongan seterusnya akan diberikan untuk sektor ini untuk mengekalkan keupayaan teras dan menempatkannya untuk pemulihan.

Katanya tiga sektor yang khusus ialah aeroangkasa, penerbangan dan pelancongan.

"Sektor ini merupakan aspek penting ekonomi kita, dan ia mempunyai impak berganda kepada sektor lain. Ini terutamanya kedudukan Singapura sebagai pusat perniagaan global yang bergantung kepada jaringan kita sebagai hab udara.

"Hab Udara Changi dan industri di kawasan sekitarnya menyumbang lebih 5.0 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dan menggaji lebih 190,000 orang," katanya.

Bagi sektor penerbangan sahaja, Heng berkata tambahan S$187 juta akan diperuntukkan untuk memperluaskan langkah-langkah sokongan itu dalam Pakej Sokongan Penerbangan Dipertingkatkan sehingga Mac 2021.

"Ini akan memberi bantuan dari segi kos kepada syarikat penerbangan, pekerja perkhidmatan pengendalian darat, ejen kargo dan penyewa lapangan terbang. Pakej ini juga akan menyokong syarikat penerbangan tempatan kami untuk mendapat semula jaringan udara kami," katanya.

KDNK Singapura susut 13.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2020.

— BERNAMA