Sistem pro lonjak JDT

Kuala Lumpur: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah dua pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) iaitu Perak dan Selangor membuktikan skuad kendalian Benjamin Mora itu berada pada tahap berbeza, malah semakin jauh meninggalkan pencabar lain.

Kemenangan besar 7-0 dan 6-1 ke atas Perak dan Selangor sememangnya mengejutkan peminat bola sepak tempatan, apatah lagi reputasi dan sejarah lampau dua pasukan itu sebelum ini bukan biasa-biasa.

Malah, berdasarkan rekod 10 jaringan terbanyak Liga Super sejak 2004, JDT sudah empat kali membelasah lawan termasuk membenam Pahang 6-0 pada 2016 dan Melaka 7-0 setahun kemudian.

Bagi pemerhati bola sepak yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim, kunci kejayaan JDT adalah disebabkan oleh model lengkap bola sepak profesional yang diterapkan di kelab terbabit.

Katanya, dua formula utama dilihat memainkan peranan penting di atas kejayaan skuad Harimau Selatan iaitu struktur bola sepak yang betul dan peranan individu arif mengenai bola sepak.

“JDT memang dah jauh tinggalkan pencabar lain dalam Liga M. Struktur mereka tepat serta meletakkan orang betul dalam sistem mereka. Untuk bahagian struktur, kita boleh lihat setiap jabatan dalam kelab itu memainkan peranan masing-masing. Mereka ada bahagian pemasaran pasukan, bahagian teknikal dan sains sukan.

DR Zulakbal. FOTO Arkib NSTP
DR Zulakbal. FOTO Arkib NSTP

“Begitu juga peranan individu terutama pemiliknya iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Beliau ada visi yang jelas untuk dicapai di samping keghairahan untuk jadi terbaik. Bukan setakat ada pasukan tetapi ghairah dan ini yang tidak ada pada pasukan lain. Apabila semuanya digabungkan daripada struktur hingga visi individu, inilah hasilnya sekarang.

“Contoh paling mudah, kalau pemilik restoran tak dapat sediakan cukup bahan untuk memasak dan tempat yang tidak selesa, macam mana hidangan itu nak jadi sedap,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menurutnya, penangguhan Liga M hampir lima bulan dari Mac hingga Ogos lalu mungkin turut memberi kesan sampingan kepada prestasi pasukan.

“Tapi ia (tangguh Liga M) tidak boleh dijadikan alasan kerana semua pasukan terkesan. Tetapi dengan adanya pelan B dan C oleh pengurusan JDT serta kelengkapan latihan yang baik, mereka nampak lebih tersedia daripada yang lain-lain,” katanya.