Siti Aishah tekad ubah nasib

KEHILANGAN deria pendengaran sejak berumur 11 tahun tidak menghalang Siti Aishah untuk terus berusaha menimba ilmu sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Siti Aishah Mohd Safie, 18, yang juga pelajar tunggal orang kurang upaya (OKU) antara 22 pelajar baharu yang mendaftar ke Politeknik Besut dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat, di sini, semalam.

“Saya bersyukur kerana impian melanjutkan pelajaran tercapai dengan bantuan guru di sekolah serta dorongan keluarga untuk melihat saya berjaya.

“Bagi saya ilmu pengetahuan amat penting untuk mengubah nasib serta membantu keluarga yang banyak berjasa,” katanya yang ditemui di Majlis Pendaftaran Pelajar Baru Politeknik Besut, di sini.

Ibunya, Wan Kamariah Wan Ngah, 40-an berkata, anak sulung daripada enam beradik itu berdikari dan rajin belajar sejak kecil serta menamatkan pengajian tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tembila.

“Aishah dilahirkan normal seperti orang lain, tetapi ketika dia berumur 11 tahun secara tiba-tiba pendengarannya terjejas.

“Saya perasan bila panggil namanya dia tidak respons sejak daripada itu saya tak sedap hati sebelum pergi mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Beberapa kali rujuk ke klinik dan ambil ubat tetap tidak berubah sebelum membuat keputusan berjumpa doktor pakar,” katanya.

Wan Kamariah berkata, anaknya bergantung kepada alat bantuan pendengaran untuk belajar tanpa perlu menggunakan bahasa isyarat.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Besut, Che Mukhtar Bakar berkata, setakat ini ada tiga pelajar OKU termasuk Aishah yang mengikuti pengajian di politeknik sementara itu.

“Kampus tetap Politeknik Besut di Bukit Keluang yang boleh memuatkan 1,200 pelajar dijangka siap bulan Mei 2021 dan menjadi satu-satunya kampus menawarkan Diploma Industri Kraf dan Diploma Digital Batik,” katanya.

Pada majlis sama, wakil Kelab Kebajikan Keluarga Anak Istimewa Negeri Terengganu (Kais), Juwairiah Abdullah menyampaikan Anugerah Kecemerlangan SPM 2019 kepada Siti Aishah.