SPM, SVM, STAM tunda ke suku pertama 2021 [METROTV]

TARIKH peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) , tarikh peperiksaan Semester Dua diubah kepada Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester Tiga akan diadakan dalam suku pertama 2021.

Katanya, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan dalam suku pertama 2021.

“Menyedari penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah bersetuju menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa berbincang untuk menetapkan tarikh sesuai bagi pembukaan semula sekolah dan ia akan diumumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Menurutnya, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila benar-benar yakin keadaan sudah kembali pulih.

“Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya membabitkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, STAM)dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuk amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, KPM sudah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar selain pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan