SPRM tahan 5 individu termasuk timbalan ketua pengarah [METROTV]

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang timbalan ketua pengarah, seorang setiausaha bahagian dan tiga pengarah syarikat perkapalan kerana disyaki terbabit dalam skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan Malaysia.

Kelima-lima individu berusia antara 35 hingga 54 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, malam tadi. Menurut sumber, kedua-dua pegawai kanan kerajaan ini didapati menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan.

Tambahnya, ketua pengarah jabatan terbabit sendiri tidak mengetahui berhubung pengeluaran surat pengecualian itu sedangkan beliau sebelum ini sudah mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom dalam mengangkut minyak Gred Berat di Perairan Malaysia.

“Terdapat banyak rungutan dan aduan diterima daripada pengusaha kapal lain yang sudah pun bertukar kepada Double Hull, Double Bottom. Ini selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengelakkan kebocoran dan pencemaran laut kesan dari tumpahan minyak oleh kapal jenis single hull.

“Kelima-lima suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

” Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, “katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan suspek, tetapi enggan mengulas lanjut.

SUSPEK.
SUSPEK.