Stephanie bina legasi sendiri

MULA memikat peminat seluruh dunia menerusi lagu I Love You 3000, kembara seni Stephanie Poetri kini semakin indah di persada antarabangsa. Walaupun berasal dari Indonesia, penjenamaan karier muziknya berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Stephanie, 20, atau nama sebenarnya Stephanie Poetri Dougherty ternyata semakin berjaya membina legasinya sendiri.

Hakikatnya, dia antara pendatang baharu taruhan syarikat rakaman 88 Rising yang berpotensi besar menyerlah di Barat.

Sekarang, pastinya ramai yang tahu dia juga adalah anak kepada penyanyi tersohor Indonesia, Titi DJ.

Menurutnya, dia tidak kisah jika dikaitkan dengan ibunya itu namun percaya berdiri pada bakat sendiri punca kejayaannya sekarang.

“Ia sesuatu yang luar biasa apabila saya dapat berkongsi karier dengan ibu saya. Sejujurnya, saya sentiasa bangga dengan pencapaiannya. Apabila orang mendapat tahu mengenai hubungan kami, saya sebenarnya cukup gembira.

“Dia memiliki katalog album yang sangat hebat dan saya juga mahu mencuba sendiri mencapai kejayaannya itu. Bagi saya, andai itu menjadi taktik pemasaran yang boleh membantu karier saya juga, tidak salah pun,” katanya.

Semestinya bukan mudah untuk menembusi pasaran AS buat sesetengah artis berdarah Asia. Stephanie mengakui terbit juga kerisauan jika percubaan melakar nama di sana tidak menjadi.

Namun, dia mengakui rencana kariernya dipermudahkan apalagi diuruskan dengan begitu rapi oleh syarikat rakaman. Dia juga bersyukur dipertemukan dengan orang yang tepat bagi membuka laluannya di sana.

“Mulanya ada juga terfikir isu itu namun ia sudah bukan kerisauan utama. Ini disebabkan, saya dikelilingi ramai yang menerima saya seadanya selain membuka laluan buat saya pergi jauh.

“Saya juga rasa sangat selesa apabila memiliki mereka yang saya boleh bergantung harap. Justeru, sekarang ia bukan lagi kerisauan besar untuk saya memandangkan dapat sokongan terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai penulisan lagu pula, Stephanie banyak mengambil inspirasi daripada filem atau cerita yang boleh dirasai semua orang. Berbanding kisah hidupnya sendiri, dia mahukan lagunya lebih universal.

“Saya tidak banyak mengambil inspirasi daripada kisah hidup sendiri kerana selalunya saya akan cakap kisah cinta saya membosankan. Sebaliknya, saya ambil inspirasi daripada filem, atau sekadar perasaan tertentu.

“Saya mahu tulis cerita yang kita semua pernah laluinya pada satu tahap dan jadikannya lagu. Agak ganjil juga saya lebih sukakan gaya sebegitu tapi lebih baik daripada tulis sesuatu yang menjengkelkan,” katanya.

Walaupun kini kerjaya muziknya lebih universal, Stephanie sentiasa berbangga dengan darah Indonesia dimilikinya.

Baginya, budaya Indonesia turut memainkan peranan yang sangat besar dalam mencorakkan karya lagunya.

“Ada masanya, saya mula menulis lagu berbekalkan sebuah perkataan atau frasa Indonesia yang kemudian saya terjemahkan. Saya juga suka menyuntik elemen yang berkaitan dengan negara saya.

STEPHANIE Poetri kini rancak melakar nama di Amerika Syarikat.
STEPHANIE Poetri kini rancak melakar nama di Amerika Syarikat.

“Contohnya memasukkan instrumen tradisional Indonesia dan sememangnya saya akan bawa aspek itu ke mana-mana. Ia termasuk setiap kali terbabit temu bual dalam industri, ia sangat berguna untuk mempromosikan budaya serta identiti saya sendiri,” katanya.

Sesuai dengan jiwa mudanya, Stephanie tidak menafikan banyak terinspirasi daripada artis era sekarang yang bernama besar. Mereka termasuk Ed Sheeran, Lauv, Anne-Marie, Baek Hyun EXO dan RosÈ dari BLACKPINK.

“Saya terfikir mereka secara spesifik sebagaimana orang lain menyukai mereka juga. Saya memang peminat mereka sejak dulu tapi tidak semestinya saya perlu kena ada lagu bersama mereka,” katanya.

Kini rancak mempromosikan lagu baharunya, Selfish, Stephanie mendedahkan ia sebenarnya bercerita mengenai perasaan cemburu. Namun begitu, lagu itu ditulis bukan daripada pengalaman hidupnya sendiri.

“Apa yang saya tulis tidak semestinya berkenaan pengalaman sendiri semata-mata. Lagu ini adalah berkisar kamu sukakan seseorang yang belum menjadi milik kamu namun jadi cemburu kalau dia bersama orang lain.

“Namun, anda sebenarnya tiada hak untuk cemburu tapi ia selalu berlaku dalam kalangan kita. Perasaan cemburu itu tetap hadir padahal mereka tidak berhutang apa-apa pun kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Stephanie kini teruja untuk melancarkan EP sulungnya yang secara peribadi sangat bermakna dalam kariernya.

Menurutnya, lagu-lagu dimuatkan dalam EP terbabit memiliki aura berbeza yang sangat menarik.

“EP saya akan keluar pada awal tahun depan. Lagunya akan menampilkan mood yang berbeza-beza contohnya tiga lagu lebih menggambarkan suasana siang. Selebihnya menggambarkan suasana malam,” katanya.