Sudah beli ‘pakaian terakhir’

Kuala Lumpur: “Kematian tidak mengira usia, jadi tidak salah untuk saya bersiap sedia menghadapinya daripada sekarang kerana tiada siapa tahu bila ajal akan tiba,” kata Wan Nur Sabrenna Balqis Wan Marecan yang juga penuntut Diploma Reka Bentuk Grafik, Managament & Science University (MSU) Shah Alam, Selangor.

Wan Nur Sabrenna, 20, memberi reaksi itu ketika ditanya alasannya membeli set pengurusan jenazah pada usia muda, baru-baru ini.

Anak kelima daripada enam beradik yang kini menetap di Subang Jaya itu membelinya daripada usahawan set pengurusan jenazah, Ahmad Kamarul Nizam Majid, 40, yang menjualnya secara dalam talian.

Berkongsi kisah itu, Wan Nur Sabrenna berkata, keinginan membeli itu datang secara tiba-tiba selepas menonton video dikongsikan Ahmad Kamarul di aplikasi TikTok dan tertarik dengan kapsyen bertulis ‘Awak, tidak salah menyimpan pakaian terakhir untuk diri sendiri.’

“Ayat pada kapsyen video berkenaan membuatkan saya tersentak dan ketika itu, baru saya tahu ada individu yang menjual set pengurusan jenazah.

“Keesokan harinya, saya menghubungi peniaga itu menerusi aplikasi WhatsApp dan mulanya teragak-agak juga untuk membeli kerana takut dengan isi di dalamnya.

“Saya bagaimanapun nekad membeli kerana tahu, saya tetap akan menggunakannya satu hari nanti,” katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Wan Sabrenna, set pengurusan jenazah itu adalah barangan paling unik pernah dibelinya.

“Saya boleh katakan ia barangan paling bernilai pernah dibeli dan setakat ini masih menunggu bungkusan itu dihantar ke rumah.

“Diharap, set pengurusan jenazah ini akan menjadi asbab saya untuk insaf dan terus mengingati kematian,” katanya.

Sementara itu, kerani hotel, Zuliahajar A Rahim, 37, berkata, niatnya membeli set pengurusan jenazah adalah sebagai persediaan dan caranya supaya lebih mengingati kematian.

Zuliahajar berharap, persediaan awal dilakukannya itu dapat memudahkan tugas individu yang menguruskan jenazahnya nanti.

“Sejak tahun lalu lagi saya sudah tergerak hati untuk membeli set pengurusan jenazah, cuma baru sekarang berkesempatan.

“Salah satu sebab saya membelinya adalah kerana sudah banyak kehilangan insan tersayang, antaranya teman baik, ayah, nenek dan terbaru, bapa saudara pada Oktober tahun lalu.

“Melihat kematian mereka membuatkan saya tersedar yang satu hari, saya akan meninggal dunia, jadi lebih baik untuk bersiap sedia daripada sekarang,” katanya.

Menurut Zuliahajar, suaminya, Zharul Izham Roslan, 36, tidak menghalang sebaliknya turut bercadang membeli kelengkapan itu nanti.

“Buat masa ini, saya beli untuk diri sendiri dulu dan Alhamdulillah, barangan itu sudah diterima.

“Dengan adanya set jenazah yang turut berisi kain kapan di rumah, ia pasti akan mengingatkan saya kematian itu boleh datang pada bila-bila masa saja.

“Secara tidak langsung, saya akan takut untuk melakukan perkara melalaikan serta berdosa seperti meninggalkan solat. Kotak set jenazah ini masih berbalut dan biarlah individu menguruskan saya nanti yang membukanya,” katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Tindakan bijak jika beli awal

Perniagaan menjual set pengurusan jenazah adalah urus niaga yang bagus sekiranya tidak disertakan dengan unsur tidak jelas seperti penipuan atau penindasan.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perniagaan seperti ini sudah lama dijalankan khususnya di Kelantan malah dipromosikan di media sosial.

“Kelengkapan jenazah adalah satu daripada empat perkara utama yang perlu dibelanjakan menggunakan harta peninggalan si mati.

“Perkara kedua ialah membayar hutang, seterusnya wasiat dan terakhir adalah pusaka,” katanya.

Beliau berkata, bagi individu yang membeli awal set pengurusan jenazah, ia adalah tindakan bijak yang menggambarkan keprihatinan terhadap diri mereka sebagai persediaan kematian.

“Selain itu, ia juga boleh mempercepatkan urusan pengebumian jenazah apabila meninggal dunia.

“Selain itu, ia juga membuatkan seseorang sentiasa mengingati kematian. Dalam hadis menyebut supaya kita memperbanyakkan mengingati kematian dan ia satu daripada zikir,” katanya.

Menurut Mohamad Shukri, di Kota Bharu, ada seorang lelaki bergelar Datuk yang menyediakan kabinet khas dengan setiap rak dilabelkan tujuan tertentu seperti pengurusan jenazah, sedekah masjid dan wakaf.

“Apabila meninggal dunia, maka ia memudahkan waris untuk melaksanakan semua perkara itu,” katanya.