Sudah bersiap siaga

RENTETAN penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu hingga kini belum dilandai sepenuhnya, membuatkan pelakon Azrel Ismail tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk perjalanan kerjaya seninya.

Azrel yang baharu meraikan ulang tahun ke 37, pada Sabtu lalu berkata dia sentiasa mengikuti perkembangan Covid-19 selama ini dan mendapati situasi berlaku sekarang ambil masa yang panjang untuk pulih.

“Melihat apa yang sudah berlaku pada tahun lalu, saya semacam dapat merasakan perkembangan ekonomi untuk 2021 ini pun mungkin tidak berapa positif seperti diharapkan.

“Jadi, untuk karier seni saya memang tidak boleh meletakkan harapan tinggi. Bahkan, mengikut laporan berita yang saya baca dijangka proses nak melandaikan penularan jangkitan Covid-19 sekarang mungkin ambil masa beberapa bulan.

“Bayangkan, ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama tahun lalu yang kes jangkitan wabak hanya beratus pun, kita ambil masa sekitar empat bulan untuk landai, inikan pula sekarang jumlah penularannya setiap hari mencecah empat angka,” katanya.

Menurut pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin ini lagi, ditambah dengan kemunculan jumlah kluster baharu, semestinya situasi serius ini tidak mudah untuk ditangani. Apapun, ujarnya dia selesa bersiap sedia.

“Disebabkan ketika ini pun kerajaan sudah mengarahkan kita semua PKP semula, saya akur dan mengakui untuk tempoh mungkin selama empat bulan atau lebih ini harus bergantung hidup dengan berbekalkan wang simpanan.

“Alhamdulillah, saya memang sudah membuat tabungan kewangan sejak awal pun dan yakin ia mampu digunakan dengan sebaiknya untuk tempoh ‘kecemasan’ ini. Saya sangat berhati-hati dalam pemgurusan perbelanjaan.

“Sekarang, saya hanya utamakan membeli keperluan penting sahaja dan tidak boros berbelanja. Gaya hidup kini, sudah tidak seperti dahulu untuk saya bermewah-mewah mengikut keinginan hati,” jelasnya.

Berbicara lanjut, Azrel berkata dia yang masih hidup bujang hanya perlu menanggung perbelanjaaan kedua ibu bapa di kampung. Justeru, katanya dia bersyukur wang simpanan yang ada itu mencukupi.

“Alhamdulillah, saya yakin wang simpanan saya cukup untuk menampung kehidupan dalam beberapa bulan ini. Ia berikutan, saya sudah lama amalkan berjimat-cermat ketika berbelanja.

AZREL bersyukur masih dapat menyiapkan penggambaran drama dan filem sebelum PKP semula untuk tahun ini.
AZREL bersyukur masih dapat menyiapkan penggambaran drama dan filem sebelum PKP semula untuk tahun ini.

“Apatah lagi, bekerja dalam industri seni ini tidak mempunyai pendapatan tetap. Jadi, saya sentiasa berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan berlaku seperti PKP sekarang. Ternyata, apa yang berlaku ini banyak memberi pengajaran,” katanya.

Mengulas juga mengenai vaksin Covid-19, Azrel berkata dia gembira dan menyambut baik berita itu. Katanya, apapun vaksin yang sudah ditemui masih perlu diuji.

“Sejujurnya, terlalu awal untuk kita semua berasa gembira kerana sudah ada vaksin Covid-19. Saya bersyukur vaksin akhirnya ditemui, tetapi masih perlu berjaga- jaga kerana vaksin berkenaan perlu diuji tahap keberkesanannya.

“Harapan saya, semoga vaksin ini berkesan. Malah, saya seronok apabila dimaklumkan negara kita akan mula mendapat vaksin Covid-19 itu tidak lama lagi,” katanya.

Ujar Azrel, dia mengharapkan vaksin itu sesuai untuk melawan Covid-19 dan segala urusan berjalan lancar. Katanya, dia mendoakan yang terbaik buat semua ‘frontliner’ negara di atas segala jasa bakti dicurahkan buat keselamatan rakyat Malaysia.

Sibuk berlakon drama dan filem

Azrel dan ceritanya peribadinya seperti percintaan, sebelum ini pernah mendapat perhatian. Bagaimanapun, sekitar tahun lalu dia seakan menyepi.

Tidak menafikannya, Azrel berkata dia sedar memang tidak banyak kisahnya disiarkan media. Apatah lagi, jelasnya sejak Covid-19 wujud, banyak acara hiburan dibatalkan.

“Saya mengaku memang nama seakan sepi tahun lalu. Kiranya senyap yang bersebab memandangkan tahun lalu pun saya duduk di rumah akibat Covid-19 dan tak bekerja terlalu lama.

“Sekarang pun, kembali duduk di rumah lagi kerana PKP. Apapun, saya bersyukur sudah dapat menyiapkan beberapa drama yang tertangguh penggambarannya sebelum ini. Alhamdulillah, syukur pada Allah.

“Sekitar Julai tahun lalu, saya masuk ke penggambaran drama Halim Halimah selama lebih sebulan di Melaka. Kemudiannya, pada September pula, saya terus menyiapkan penggambaran drama 26 episod untuk RTM hingga awal Disember,” katanya.

Jelas Azrel lagi, rezekinya agak murah apabila turut menerima tawaran membintangi filem. Katanya, dia sibuk di lokasi penggambaran filem berjudul Biko selama 16 hari dan berakhir pada 27 Disember, tahun lalu.

Bagi perkembangan aktiviti lakonan terbaharu, Azrel sepatutnya memulakan penggambaran drama 13 episod berjudul Bella untuk Astro Citra pada 13 Januari lalu tetapi sudah PKP. Jelasnya, dalam drama itu dia berganding dengan pelakon Shiqin Kamal.

Selain itu, Azrel juga akan muncul dengan drama terbaharu disiarkan TV3 tidak lama lagi berjudul Melastik Ke Hatimu bersama barisan pelakon seperti Janna Nick, Andi Bernadee, Wani Kayrie, Norman Hakim dan Puteri Sarah Liyana.