Sudah berusia, tapi degil juga

TINDAKAN 10 jemaah dipercayai mahu menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Sayong Tengah, Kuala Kangsar, semalam mengundang padah apabila ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, penahanan semua suspek berusia 26 hingga 76 tahun itu dibuat dengan kerjasama anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Kuala Kangsar hasil pemantauan dan maklumat awam.

Katanya, mereka ditahan di dalam masjid berkenaan pada 8.30 malam ketika sedang menunggu masuk waktu selain terdapat jemaah lain yang sempat melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

“Hasil pemantauan di masjid berkenaan sebelum ini mendapati rata-rata mereka yang masih berdegil kebiasaannya terdiri golongan warga emas serta uzur.

“Amaran sudah dikeluarkan beberapa kali terhadap pengurusan masjid itu sebelum ini, namun kedegilan mereka menyebabkan serbuan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

“Sebahagian besar daripada mereka sudah berusia selain mempunyai masalah kesihatan, namun kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin ketika dihubungi berkata, orang ramai diminta tidak khuatir mengenai kewajipan mendirikan solat berjemaah di sesuatu kariah kerana ia diletakkan kepada tiga pegawai masjid iaitu imam, bilal, dan siak bertugas.

Menurutnya, mereka dinasihatkan tidak melanggar arahan kerajaan yang bersangkutan dengan mudarat besar seperti penularan Covid-19.

“Hormatilah apa (fatwa) yang diputuskan hasil muzakarah cendiakiawan agama yang memperakui hal ini serta jangan buat pendapat dan hukum sendiri yang didasari oleh kecetekan ilmu.

“Mudarat mengancam nyawa sendiri lebih besar daripada memperoleh manfaat pahala solat berjemaah apatah lagi turut membabitkan nyawa orang lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan