Sudahlah ingkar PKP, tertembak orang pula

SEORANG lelaki cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan individu tidak dikenali dalam kejadian di kawasan Bukit Harimau, Marang, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku 6.30 petang ketika mangsa berusia 66 tahun berada di dalam kawasan kebun sawitnya.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga lelaki berusia 53 tahun bersama anak lelakinya berusia 19 tahun dalam perjalanan balik ke rumah selepas membersihkan ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Katanya, dua beranak itu ternampak sekumpulan babi hutan melintas jalan sebelum dia memberhentikan kereta lalu mengambil senapang patah dan melepaskan satu das tembakan.

“Pada masa sama, anak lelakinya ternampak cahaya lampu motosikal dalam kawasan semak berhampiran sebelum membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba di kawasan semak berkenaan, dua beranak itu ternampak mangsa sedang membalut luka di bawah ketiak kiri yang berpunca daripada tembakan dilepaskan suspek sebelum itu.

“Dua beranak kemudian membawa suspek ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, dua beranak terbabit direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya, mangsa juga akan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana berada di luar ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan