Sukanya Puteri Mariam dengan kucing [METROTV]

OBSES terhadap kucing menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik, Puteri Mariam Kamelia Abdul Hadi, 3, sering berjaga di awal pagi untuk bermain dan memberi makan kepada haiwan berkenaan di luar rumah.

Bapanya, Abdul Hadi Hassan, 31, yang menetap di Jenjarom, Selangor berkata, rutin itu sudah menjadi kebiasaan Puteri Mariam sejak kecil lagi tetapi semakin ketara sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, Abdul Hadi berkata, Puteri Mariam tidak dibiarkan sendirian sebaliknya berada bawah pengawasannya dan isteri, Nazirah Razak, 30, ketika dia berada di luar rumah.

“Sebenarnya, sudah lama anak saya obses dengan kucing cuma baru-baru ini saya kerap rakam video dan ambil gambarnya (Puteri Mariam).

“Ini kerana sudah menjadi seperti satu rutin buatnya apabila terjaga pada jam 1 atau 2 pagi dan terus mencari kucing kerana mahu bermain dan memberi makanan kepada haiwan itu di luar rumah.

Tingkah lakunya itu nampak ketara sejak PKP, mungkin dia bosan kerana abang dan kakaknya tiada di rumah jadi saya turutkan saja keinginannya. Jika tidak, dia akan meragam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Abdul Hadi berkata, kebiasaannya, dia dan isteri hanya membiarkan Puteri Mariam bermain untuk tempoh 30 minit saja sebelum mengajaknya masuk semula ke dalam rumah.

Baginya, kecenderungan Puteri Mariam sekadar satu obses dan tidak mengaitkannya dengan unsur mistik kerana menyedari minat anaknya terhadap kucing sejak dulu lagi.

“Mulanya hairan dan rasa ada gangguan mistik juga apabila Mariam (nama gelaran untuk Puteri Mariam) sering mengajak keluar pada awal pagi hingga ada kalanya bercakap dengan kucing tetapi akhirnya saya sedar ia sekadar satu obses.

“Kucing berkenaan juga serasi dengannya dan selalu berlegar di halaman rumah kerana setiap kali keluar, Mariam akan membawa bersama makanan.

“Ada kalanya, Mariam turut bersembang dengan kucing itu. Saya dan isteri layankan saja kerana dia memang lebih cenderung kepada kucing dan tidak suka bermain gajet,” katanya.

Abdul Hadi mengakui terkejut apabila perkongsian kisah anaknya di laman sosial mendapat perhatian warganet yang turut memintanya memuat naik lebih banyak gambar dan video aktiviti Puteri Mariam bersama kucing.

Menurutnya, selain suka mengikuti perkembangan Puteri Mariam, ada juga individu yang bermurah hati mahu menghadiahkan kucing kepada anaknya itu.

“Sejak saya menyertai kumpulan Pencinta Kucing di Facebook (FB), ramai yang berminat untuk menghadiahkan kucing dan saya terima kerana manalah tahu, kehadiran haiwan itu akan mengubah tabiat anak saya.

“Ikutkan, kami pernah memelihara kucing di dalam rumah tetapi Mariam tetap membawa haiwan itu bermain di luar.

“Kemudian, saya letakkannya di luar rumah tetapi kucing itu hilang. Apa pun, saya dan isteri sentiasa mengawasi Mariam kerana dia masih kecil dan mana mungkin membiarkan dia bermain sendirian walaupun kawasan perumahan kami tidak sesak dengan kenderaan yang lalu lalang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan