Sukar hendak kawal pematuhan ziarah raya

KESUKARAN pihak berkuasa memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan menyebabkan ziarah Aidilfitri masih tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sedia maklum mengenai keluh kesah orang ramai berhubung perkara itu.

Katanya, kerajaan memahami ia adalah perkara berat untuk dihadapi apabila perasaan mahu balik beraya membuak-buak.

“Harus diingat bahawa ziarah raya adalah perkara berbeza dengan membeli-belah di pasar raya dengan penjarakan satu meter dan jumlah pengunjung terhad pada satu-satu masa.

“Namun, siapa yang akan berpantang daripada memeluk ahli keluarga dan periksa suhu setiap individu ketika berada di kampung. Adalah tidak mampu bagi pasukan khas antara agensi beruniform untuk mengawal setiap rumah.

“Apa yang kita bimbangkan adalah perkara itu akan mencetuskan kluster baharu ketika raya. Justeru, ziarah raya tidak dibenarkan setakat ini atas saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada temu bual bersama Bernama TV, hari ini.

Ismail berkata, walaupun pergerakan rentas daerah dibenarkan, namun ziarah raya tetap tidak dibenarkan.

“Bagi senarai terlarang seperti perlawanan bola sepak, ia tidak ada SOP dikenakan memandangkan ia adalah aktiviti dilarang.

“Mengenai ziarah raya, keputusan lain yang akan dibuat selepas ini bergantung kepada kepatuhan keselamatan dan kesihatan.

“Apa yang saya boleh katakan kepada rakyat adalah bersabar dulu. Kita berdoa saja memandangkan apa-apa boleh berlaku sekiranya pihak KKM mahupun polis memaklumkan bahawa keadaan baik. Namun, saya tidak menjanjikan apa-apa,” katanya.

Beliau berkata, amalan norma baharu dalam kalangan masyarakat sudah bermula walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berlangsung.

“Kita boleh lihat orang ramai berbaris ketika mahu masuk pasar raya dengan menjaga jarak antara satu sama lain termasuk di pasar.

“Saya harap budaya ini akan terus diamalkan bukan saja ketika ini, namun juga pada masa akan datang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19