Sumbu RM440K sekilogram

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 menyebabkan nilainya kini melonjak sehingga AS$100,000 (RM440,000) sekilogram di pasaran gelap.

Peningkatan harga itu antara punca sumbu badak putih dan hitam Afrika giat diseludup ke Asia dengan menjadikan Malaysia sebagai transit utama sebelum dihantar ke negara ketiga.

Terbaru pihak berkuasa Afrika Selatan membongkar kegiatan sindiket terancang yang cuba menyeludup 17 sumbu badak sumbu ke Malaysia.

Berdasarkan maklumat didedahkan Traffic Southeast Asia, semua sumbu badak itu ditemui disembunyikan di sebuah gudang di Kempton Park, Gauteng, Afrika Selatan kelmarin.

Siasatan lanjut mendapati semua sumbu badak sumbu itu dibungkus rapi menggunakan kertas aluminium dan disembunyikan di dalam tong logam berisi makanan campuran ayam.

Maklumat diperoleh mendapati tong makanan ayam itu mahu dieksport ke Malaysia.

Semua 17 sumbu badak pelbagai saiz itu dianggarkan seberat 72.40 kilogram atau mencecah harga AS$7.34 juta (RM28.9 juta).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesukaran sindiket penyeludupan hidupan liar antarabangsa ‘beroperasi’ susulan Covid-19 melanda dunia menyebabkan harga komoditi haram itu meningkat.

Menurutnya, Perhilitan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis antarabangsa (Interpol) melalui pelbagai operasi termasuk Operation Thunderstorm bagi memastikan kegiatan sindiket itu dipatahkan.

“Berdasarkan maklumat dan kes ditangani sebelum ini, sindiket terancang itu menjadi Malaysia sebagai ‘lokasi persinggahan’ sebelum bahagian hidupan liar ini diseludup ke Vietnam atau China.

“Gading gajah, sumbu badak, sisik tenggiling dan tulang harimau mendapat permintaan tinggi di negara berkenaan sejak sekian lama,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, semalam.

Menurutnya, sumbu badak Afrika mempunyai harga lebih mahal berbanding gading gajah berikutan ia digunakan sepenuhnya untuk tujuan perubatan tradisional.

“Ketika ini, harga sumbu badak Afrika boleh mencecah harga sehingga AS$100,000 sekilogram di pasaran gelap antarabangsa.

“Ini berbeza dengan gading gajah yang kebiasaannya diukir menjadi hiasan bagi kediaman golongan kaya di negara berkenaan tanpa wujud unsur perubatan.

“Sebelum ini, Perhilitan pernah membongkar cubaan menyeludup masuk sumbu badak yang disorokkan bersama tulang singa yang sudah membusuk di dalam tong,” katanya.

ABD Kadir akui harga sumbu badak Afrika jauh lebih mahal berbanding gading gajah.
ABD Kadir akui harga sumbu badak Afrika jauh lebih mahal berbanding gading gajah.

Pada 20 Ogos 2018, sebanyak 50 batang sumbu badak serta sembilan bangkai haiwan keseluruhannya dianggar bernilai RM48.5 juta dirampas Perhilitan.

Semua bahagian haiwan liar itu dirampas selepas menerima maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenai kewujudan beberapa kotak berbau busuk di Pos Aviation Cawangan Eksport, bangunan Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua 50 sumbu badak dirampas adalah seberat 116 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhannya RM48 juta.

Bahagian haiwan berkenaan dipercayai cuba diseludup ke satu alamat di Hanoi, Vietnam dan dibawa masuk ke negara ini dengan menjadikan KLIA sebagai laluan transit.

Difahamkan pengganas di benua Afrika memburu gading gajah dan sumbu badak sebagai sumber kewangan membabitkan kawasan timur laut Republik Demokratik Congo, utara Cameroon dan barat daya Zambia.

Sehingga kini, pihak berkuasa negara ini sudah berjaya merampas 3,692.4 kilogram gading lengkap dan separa gading serta 228.89 kilogram produk gading separa siap sejak tahun 2011.

Penyeludup perlu dihukum lebih berat

Kuala Lumpur: Hukuman lebih berat perlu dijatuhkan terhadap pemburu haram termasuk penyeludup serta pedagang haiwan liar dilindungi.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan Malaysia (MyAct) Arie Dwi Andika berkata, hukuman berat kepada penyeludup wajar diperhalusi termasuk menambah hukuman sebatan selain denda atau penjara ketika ini dikenakan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Menurutnya, penyeludupan organ atau haiwan liar adalah aktiviti bertentangan dengan kebajikan haiwan dan dilakukan golongan tidak berperikemanusiaan.

“Untuk mendapatkan sumbu badak, kebiasaannya badak sumbu Afrika akan dibunuh sebelum bahagian dikehendaki (sumbu) digergaji.

“Tindakan ini jelas zalim dan tidak berperikemanusiaan. Sebagai contoh lain, untuk mendapatkan anak ungka, pemburu perlu membunuh ibunya terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, pembunuhan haiwan liar dilindungi secara besar-besaran sejak beberapa dekad lalu menyebabkan banyak spesies hidupan liar hampir pupus.

Katanya, masyarakat juga harus disedarkan berhubung kesengsaraan haiwan liar yang diburu dan dibunuh secara kejam untuk mendapatkan anggota tubuh haiwan liar berkenaan.

“Saya dapati kesedaran berhubung menghormati hak haiwan masih rendah. Pendidikan di peringkat sekolah dan universiti berhubung isu kebajikan haiwan dan menghentikan penganiayaan wajar diterapkan,” katanya.