Surat balas Dr Noor Hisham, motivasi buat Lara [METROTV]

“LARA mengambil masa 15 minit untuk membuat loom band itu dengan kombinasi warna bersesuaian yang khas untuk diberikan kepada (Ketua Pengarah Kesihatan) Dr Noor Hisham (Abdullah),” kata Mutiara Jusuf McAfee, 46, ketika ditemui di rumah dekat Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Mutiara berkata, anak bongsunya itu, Lara Khadijah McAfee, 9, belajar membuat loom band sejak awal 2019 dan sering menjadikan gelang itu sebagai hadiah kepada rakannya di sekolah.

“Selain Lara, semua adik-beradiknya yang lain turut mahir membuat loom band itu.

“Pembuatan loom band itu bergantung kepada kreativiti dan ia memang memerlukan latihan dan kesabaran yang tinggi untuk membuatnya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

LARA menyiapkan gelang tangan loom band. FOTO Ghazali Kori
LARA menyiapkan gelang tangan loom band. FOTO Ghazali Kori

Mutiara berkata, dia bersama suaminya, Anuar McAfee, 55, dan Lara sehingga sekarang masih teruja dan terharu apabila surat berserta loom band yang dikirim itu mendapat perhatian, khususnya, Dr Noor Hisham.

“Alhamdulillah, surat balas yang diberikan Dr Noor Hisham itu sedikit sebanyak memberi motivasi kepada Lara untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Walaupun surat sebenar masih belum diterima, surat balas yang terlebih dahulu tular di media sosial itu sudah memadai untuk menggembirakan kami sekeluarga.

“Ramai saudara dan kenalan rapat yang menghubungi kami bertanyakan mengenai surat itu sebaik sahaja ia tular di media sosial,” katanya.

Menurutnya, dia juga menerima ucapan tahniah daripada ibu bapa daripada pelbagai bangsa di negara ini yang memuji keberanian Lara menghantar surat penghargaan kepada Dr Noor Hisham.

“Harapan mereka supaya inisiatif Lara itu turut menjadi contoh kepada kanak-kanak lain selain mengucapkan tahniah juga kepada kami sekeluarga kerana mendorong Lara berbuat demikian,” katanya.

LARA (tengah) bersama ibu bapanya, Anuar McAfee (dua kiri) dan Mutiara (dua kanan), Kyra Aishah (kanan) dan Aidan Yusuf. FOTO Ghazali Kori
LARA (tengah) bersama ibu bapanya, Anuar McAfee (dua kiri) dan Mutiara (dua kanan), Kyra Aishah (kanan) dan Aidan Yusuf. FOTO Ghazali Kori

Harian Metro sebelum ini melaporkan Lara teruja dan gembira apabila surat yang dikirim dibalas Dr Noor Hisham.

Anak bongsu daripada lima beradik itu menulis sendiri surat sebagai tanda penghargaannya kepada Dr Noor Hisham yang sering dilihatnya di televisyen ketika mengumumkan perkembangan semasa Covid-19.

Surat tulisan Lara yang tular itu turut mendapat maklum balas daripada Dr Noor Hisham yang mengaku tersentuh dengan penghargaan dizahirkan.

Berita berkaitan

• Lahir lebih ramai murid seperti Lara Khadijah

• Lara teruja

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan