Surat dari Mourinho

Kuala Lumpur: Siapa sangka walaupun jauh beribu kilometer, kesakitan yang dirasai seorang penyokong setia kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur di Malaysia turut mendapat perhatian pemain dan pegawai pasukan tersohor itu.

Paling mengujakan sudah pastinya apabila pengurus Spurs sendiri, Jose Mourinho yang juga antara jurulatih terbaik dunia mengirimkan surat kepada Shariful Bahrin Halim yang kini sedang bertarung dengan masalah kesihatan.

Shariful, 45, yang kehilangan sebelah kaki akibat penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang mengakui terkejut menerima surat daripada Mourinho yang mendoakan dia cepat sembuh dan kuat menerima ujian ini.

Katanya, dia yang menyokong skuad The Lilywhites sejak 1982 nyata tidak percaya dan mengakui tidak terlintas untuk menerima penghargaan seperti itu daripada kelab kesayangan yang kini diuruskan oleh jurulatih Portugal itu.

“Saya mengalami sakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang hingga menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong sehingga paras lutut. Bagi saya,
saya sudah hilang separuh daripada hidup saya kerana sukan adalah satu yang amat penting dalam kehidupan saya.

“Sememangnya masa itu saya down, depressed dan mengalami kemurungan…mujurlah saudara mara, rakan sekolah dan juga sahabat dari Kelab Penyokong Spurs Malaysia memberi saya dorongan untuk kembali bersemangat.

“Ditambah pula apabila mendapat surat daripada Mourinho semakin bersemangat saya. Tak terlintas di fikiran saya untuk mendapat penghargaan seperti itu.

“Tidak sia-sia rasanya lebih 30 tahun menjadi penyokong kelab ini dan tak pernah beralih arah walau ada kalanya kami hampir-hampir terkeluar daripada cabaran EPL atau divisyen satu dahulu,” katanya yang kini tinggal di Taiping, Perak.

Berkongsi mengenai kesetiaannya bersama kelab yang pernah menjulang kejuaraan EPL sebanyak dua kali iaitu pada 1950–51 dan 1960–61 itu, dia tidak mengukur jumlah trofi yang dimenangi sebagai syarat utama untuk menyokong pasukan itu.

“Pada mulanya saya cuma mengikut pasukan yang arwah ayah saya minati, jadi saya mula mengenali pemain seperti Osvaldo Ardilles, Glenn Hoddle, Steve Archibald, Ray Clememce dan lain-lain.

“Selepas itu, saya tak pernah berpaling lagi kepada kelab lain walaupun seberapa banyak piala yang mereka menangi. Bagi saya Spurs tetap di hati kerana sifat melawan dan menyerang mereka bertepatan dengan moto Audere Est Facere atau To Dare is To Do,” katanya.