Tabah ‘berkurung’

KURANG dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Ramadan.

Untuk tahun ini, pastinya ada kelainan berikutan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April depan akibat penularan pandemik Covid-19.

Pelakon Azrel Ismail, 36, berkata, Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu setiap tahun, apatah lagi sambutannya di negara ini sangat unik dan meriah.

“Namun tahun ini tiada Bazar Ramadan dan tidak boleh menunaikan solat Tarawih di masjid atau surau. Jadi, kena meriahkan Ramadan dengan cara baru. Untuk saya sendiri, buat masa sekarang kena tabah terus duduk di rumah kerana semua aktiviti kerja penggambaran ditangguh sehingga tempoh yang belum pasti.

“Namun, dalam keadaan sekarang saya takkan ambil risiko keluar menjalani penggambaran. Sudah sebulan berkurung di rumah kerana PKP ini, saya akur kerana keselamatan nyawa lebih utama. Rindu pada kerja memang ada, tapi tak boleh nak buat apa,” katanya.

Selesa melihat dari sudut positif, Azrel berkata, keadaan sekarang sangat tidak mengizinkan untuk kita semua melakukan rutin harian seperti biasa dan dia juga enggan menjadi seorang yang pentingkan diri.

Menyifatkan wabak Covid-19 yang menular ketika ini sebagai ‘bom jangka’, Azrel berpendapat dengan apa yang berlaku dalam negara kini sebenarnya ramai orang tidak bersedia.

“Kita tidak menduga impak penularan Covid-19 ini sangat besar. Rasanya belum ada virus paling berbahaya seperti Covid-19 yang melumpuhkan banyak negara di dunia dari aspek ekonomi.

AZREL tidak menafikan industri hiburan terjejas teruk dalam tempah PKP ini, bagaimanapun dia tetap bersyukur.
AZREL tidak menafikan industri hiburan terjejas teruk dalam tempah PKP ini, bagaimanapun dia tetap bersyukur.

“Tak dinafikan industri hiburan terjejas teruk. Pelakon seperti saya tak boleh keluar bekerja. Namun, perlu diingat masih ramai orang yang terjejas sumber pendapatan mereka. Untuk saya, sejujurnya bersyukur dengan keadaan diri,” katanya.

Sentiasa menonton laporan berita berkaitan Covid-19, Azrel berkata, dia juga sudah mempersiapkan mental dan fizikal sekiranya PKP dilanjutkan lagi selepas 28 April depan.

“Saya melihat keadaan negara kini belum aman dan terlepas dari Covid-19. Rasanya apabila Aidilfitri nanti, belum tentu kita semua dapat pulang ke kampung. Jadi, saya sudah memikirkan apa aktiviti nak dibuat jika perlu menyambut raya bersendirian di rumah iaitu nak buat banyak siaran langsung di media sosial,” katanya.

Berbicara mengenai projek lakonannya yang tertangguh, Azrel berkata, dia ada dua drama yang tidak dapat menghabiskan penggambaran iaitu Bicara Cinta untuk slot Akasia TV3 dan Halim Halimah (Awesome TV).

Katanya, Bicara Cinta ada tempoh satu bulan penggambaran, manakala Halim Halimah pula baru bermula.

Apapun, dalam situasi sekarang bagi Azrel keselamatan lebih penting.

SUDAH bersedia mental dan fizikal sekiranya PKP dilanjutkan lagi selepas 28 April depan.
SUDAH bersedia mental dan fizikal sekiranya PKP dilanjutkan lagi selepas 28 April depan.

Bekerja sambil melancong

Jika melihat perkongsian foto Azrel di Instagram, banyak juga dia memuat naik gambar menarik ketika di luar negara.

Justeru, kini dia perlu melupakan aktiviti melancong itu.

Mengulasnya, Azrel menjelaskan selama ini perkongsian gambar melancong itu kebanyakannya dirakam sambil bekerja.

Katanya, dia banyak ke luar negara untuk penggambaran drama.

“Saya bukan seorang yang fanatik melancong. Kalau tengok foto dalam Instagram saya di luar negara, semuanya dirakam ketika melakukan penggambaran di sana.

“Biasanya, saya bekerja sambil melancong. Dalam tempoh empat tahun aktif berlakon ini, banyak juga negara yang sudah dikunjungi kerana aktiviti penggambaran,” katanya.

Azrel berkata, melancong bersama keluarga pula baru tiga kali dilakukan iaitu mereka ke Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Menurut pemuda kelahiran Perak ini, dia juga berhasrat untuk bercuti ke Sarawak dan Sabah jika ada peluang selepas negara pulih dari Covid-19.

Katanya, dalam negara pun masih banyak tempat menarik yang belum dikunjungi.

“Jika ada kesempatan nanti, dapat bercuti ke seluruh negeri di Malaysia pun okay,” katanya.