Tahanan rogol remaja dalam lokap, berlaku kecuaian polis

Kuala Lumpur: Remaja perempuan yang dirogol tahanan lain di lokap Balai Polis Pusat Miri, 9 Januari lalu diletakkan di sel berlainan dengan tahanan lelaki.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan mendapati berlaku kecuaian anggota yang tidak mengunci pintu lokap berkenaan.

“Kita dapati berlaku kecuaian anggota yang tidak mengunci pintu lokap dari dalam.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagaimana Orang Kena Tahan (OKT) boleh ke sel berlainan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Aidi berkata, tindakan sudah diambil terhadap dua anggota polis dan mereka ditahan kerja bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Pihak kami akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dan cuai dalam menjalankan tugas.

“Tahanan lelaki terbabit juga sudah didakwa di mahkamah dan menunggu tarikh sebut semula kes pada 9 Februari depan,” katanya.

Dalam kejadian itu, remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis pada 16 Januari lalu mendakwa dia ditahan oleh sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri pada 8 Januari kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian haram.

Dia kemudiannya ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan di dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Dakwanya lagi, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Antara jam 4 hingga 5 pagi sebelum seorang tahanan lelaki membuka pintu sel dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.

Berita berkaitan

• Tahanan rogol remaja perempuan dalam lokap sudah didakwa

• Remaja perempuan dakwa dirogol dalam lokap