
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan tahniah kepada penuntut Malaysia, Azhar Ali, 20, yang berjaya memperoleh biasiswa daripada National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
“Kejayaan yang amat membanggakan. Semoga terus berjaya,” kata Muhyiddin menerusi ciapan di Twitter beliau.
Azhar menerusi akaun Twitter beliau semalam memuat naik status bersyukur kerana tidak menyangka akan mendapat tawaran biasiswa itu sebagai ganjaran selepas menyertai cabaran reka bentuk sut angkasa lepas bagi misi Artemis pada 2024.
Daripada lebih tiga juta orang peserta yang mereka cipta sut angkasa untuk program Artemis itu, rekaan beliau dilaporkan memperoleh markah setinggi 96.77 peratus dengan kriteria yang merangkumi aspek kos, ujian lapangan serta logik serta konsisten.
Sehingga 8 malam tadi ciapan pemuda berkenaan menerima 22,500 perkongsian (retweet) dan lebih 34,400 tanda suka (like) selain turut dihujani dengan ucapan tahniah dari rakyat Malaysia termasuk oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Tahniah Saudara Azhar. Kejayaan yang amat membanggakan. Semoga terus maju jaya. https://t.co/DDVUu3aJsO
— Muhyiddin Yassin (@MuhyiddinYassin) May 1, 2020