Tahun penuh pengajaran

Kuala Lumpur: Lembaran 2020 yang bakal melabuhkan tirai dalam tempoh kurang 10 hari lagi pastinya mencipta memori tersendiri.

Kegembiraan yang dirasai mungkin kurang terasa kemanisannya, begitu juga kesedihan dilalui memberikan kesan cukup mendalam.

Penularan virus Covid-19 di negara ini sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu menyaksikan hampir semua sektor dan industri pekerjaan tempatan lumpuh.

Bagi yang terjejas teruk dari segi pendapatan, apa yang diharapkan adalah bantuan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan. Untuk mereka yang masih berkemampuan inilah waktu menghulurkan sumbangan.

Bagi artis serba boleh, Alif Satar, perjalanan tahun ini diibaratkan tahun penuh pengajaran selain menganggap virus Covid-19 yang melanda adalah wake up call buat semua orang. Baik golongan kayangan mahu pun bawahan, ia adalah pesanan Tuhan.

“Alhamdulillah, secara peribadi tahun ini ada yang Tuhan tarik dan ada yang Dia bagi banyak. Ada bahagian yang Tuhan beri kelebihan, saya tolong orang yang memerlukan. Dalam erti kata lain, tahun ini memang mengajar dan memberi peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Tuhan.

“Mungkin sebelum ini ada bersikap sambil lewa dan terlalu fokus pada kerjaya. Jadi, apa yang terjadi diibaratkan wake up call secara spiritual,” katanya.

Menurutnya, daripada segi kerjaya, ia membuka lebih banyak peluang bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga kepada orang lain selain ramai saling bantu-membantu.

“Perlu diakui, dulu ada orang yang kerjaya mereka stabil, tapi apabila wabak ini melanda semua terjejas. Tidak ada yang kekal. Dari situ saya banyak belajar dan membuka mata saya. Sebagai contoh, dapat dilihat ramai golongan profesional yang beralih kerjaya dan buat kerja sampingan serta saling menyokong bisnes masing-masing.

“Ini yang saya nampak dalam komuniti kita yang mempunyai semangat tolong-menolong antara satu sama lain. Kalau dari dulu semangat ini wujudkan bagus. Seronok melihat ramai yang berlumba-lumba nak bantu orang susah dan buat infaq. Inilah yang dikatakan hikmah di sebalik Covid. Ia seolah-olah reset button untuk semua orang,” katanya.

Pastinya juga, perkara yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila selain menjadi catatan sejarah buat dirinya apabila dia juga disahkan dijangkiti Covid-19.

“Mungkin masih ramai kata Covid-19 ini tak wujud. Kalau ada yang fikir sebegitu, orang itu memang pentingkan diri, sedangkan sudah ramai terkena dan hilang nyawa. Malah, bukan saja memberi kesan pada kesihatan dan tubuh badan, tapi ada yang mengalami depresi sebab diberhentikan kerja dan tak boleh keluar rumah.

“Selepas saya terkena (Covid-19), saya nampak ia dari sudut lain terutama menerusi kempen kerajaan #KitaJagaKita. Memang betullah, dengan amalkan penjarakan fizikal dan sebagainya.

“Tapi, sebaliknya yang berlaku. Ketika dikuarantin dan dirawat di Hospital Melaka, saya baca ramai komen yang mana terdapat komuniti mereka memberikan persepsi negatif pada pesakit Covid-19 dan keluarga.

“Walaupun tidak berlaku pada saya, tapi kena pada orang lain. Jadi, perkara ini tidak bagus.

“Mereka tak minta kena Covid-19, tapi nasib mereka. Ramai cerita pada saya perkara ini,” katanya.

Menurut Alif, dia bertuah apabila jiran tetangga sangat mengambil berat dengan keluarganya yang turut menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Ketika saya masih dirawat di hospital dan dalam masa sama, isteri dan anak-anak juga kena kuarantin di rumah. Jadi, jiran banyak tolong isteri dan anak-anak. Sehinggakan mereka bergilir-gilir nak belikan barang basah dan sebagainya.

“Sepatutnya ini yang perlu diamalkan oleh semua komuniti kita. Bukan nak pulaukan orang itu atau keluarganya dan marah. Itu tak patut. Bagi saya, kempen itu kena berterusan sebelum dan semasa kena (Covid-19).

“Saya melihat mereka yang bercakap ini mungkin tak kena batang hidung sendiri atau keluarga mereka. Hanya pandai cakap saja dan tak tahu kesan jika sudah terkena,” katanya.

Selepas disahkan bebas Covid-19, Alif berkata, dia kembali menjalani aktiviti harian dan seni seperti biasa.

“Selepas bebas Covid-19, saya kembali jalani kehidupan normal. Doktor cakap dalam badan saya sudah ada imunisasi yang mana susah nak berjangkit pada orang lain dan dijangkiti semula. Jadi, saya menyambung semula pekerjaan yang tertunda dan meneruskan penggambaran seperti biasa.

“Cuma, kesan pada tubuh masih dirasa seperti saya berasa cepat penat. Mungkin sebab ketika dalam rawatan, saya tidak banyak buat aktiviti seperti kebiasaan. Sebagai contoh, dulu kalau lari jauh ok… tapi sekarang lari lima kilometer pun sudah penat.

“Tapi, Alhamdulillah apabila saya kembali bekerja, rakan artis memberikan sokongan dan semangat. Malah, syarikat produksi pun semua ambil berat dan tidak sabar nak memulakan kerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alif berkongsi bakal menerbitkan dokumentari mini memaparkan pengalamannya dirawat di Hospital Melaka sebagai pesakit Covid-19 di saluran YouTubenya.

“Dokumentari ini menceritakan pengalaman rawatan sepanjang 12 hari di hospital. Saya akan paparkan pengalaman, aktiviti dan apa doktor buat. Semuanya saya rakam sendiri. Insya-Allah ada dua episod. Biar orang nampak virus ini memang wujud,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19