Tak boleh catat, simpan suhu badan orang ramai

REKOD suhu badan ketika pemeriksaan di mana-mana premis perniagaan tidak sepatutnya dicatatkan dalam buku atau disimpan secara rekod digital.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penyimpanan rekod suhu badan pengunjung adalah bercanggah dengan kerangka tatacara pengendalian dan penyimpanan data peribadi yang ditetapkan kerajaan.

Berdasarkan garis panduan itu, katanya, hanya nama, nombor telefon, tarikh dan masa kehadiran pengunjung di premis perniagaan perlu direkodkan, sama ada pada buku atau secara simpanan digital.

“Data peribadi hanya digunakan untuk pengesanan kontak, manakala tempoh simpanan data pengunjung ialah sehingga enam bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mesti dimusnahkan dan dipadam secara kekal selepas sembilan bulan.

“Cuma sedikit kekeliruan, kalau kita pergi ke premis perniagaan, dia tulis suhu badan, maka ini tidak wajib dan maka dari segi tatacara yang kita keluarkan, ia salah.

“Penulisan suhu badan tidak boleh dilakukan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.