‘Tak larat guna cara lembut…’

KUALA LUMPUR: “Mana-mana yang tidak serius nak buat FA ke FC atau cuba melambat-lambatkan proses itu, kita akan singkirkan mengikut peraturan yang ada. Bukan setakat singkir, pasukan juga boleh tidak dibenarkan beraksi lagi.”

Demikian amaran keras yang diberikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin apabila mengakui tempoh berlembut atau ‘berkasih sayang’ dengan pasukan Liga Malaysia (Liga M) kini sudah berakhir dan semua pasukan diwajibkan untuk melengkapkan proses penswastaan.

Menurut Hamidin, pihaknya memandang serius isu penswastaan dan berharap semua pasukan segera menyelesaikannya sebelum tarikh akhir pada 30 September ini.

Katanya, kegagalan pasukan mengikut ketetapan itu, bukan saja membolehkan mereka disingkir ke liga bawahan malah turut berdepan halangan untuk beraksi dalam saingan Liga M.

“Untuk tahun depan, mana-mana pasukan dalam Liga Super atau Liga Perdana tidak memenuhi kriteria FA ke FC, kriteria pelesenan kelab dan juga masalah gaji tertunggak, kita akan buat tindakan tegas dan tak boleh ada lagi tempoh lanjutan atau sebagainya.

“MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM serius dengan perkara ini. Mana-mana yang tidak serius akan disingkirkan mengikut peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

“Tindakan penyingkiran ada dalam peraturan contohnya, pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang gagal memenuhi kriteria pelesenan boleh disingkirkan ke liga amatur atau Liga M3. Ia tengok (tindakan hukuman) kepada kesalahan pasukan itu nanti. Kalau isu gaji dan sebagainya mungkin mereka tak boleh bermain buat sementara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Terdahulu, FAM mendedahkan lima pasukan sudah berjaya melengkapkan proses penswastaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya FC (PJ City), Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak United.

Lapan pasukan yang lain pula hampir lengkap manakala lima lagi masih bergerak dan baki tiga pasukan pula masih belum melakukan apa-apa langkah ke arah penswastaan.

Kelewatan tiga pasukan itu dilihat seolah-olah sengaja mengundang padah yang boleh disingkirkan ke liga amatur musim depan sekali gus memungkinkan saingan Liga M bakal kekurangan pasukan.

Jelas Hamidin lagi, pihaknya tidak berdepan masalah untuk meneruskan saingan Liga M meskipun terpaksa mengecilkan jumlah penyertaan pasukan musim depan.

“Kalau tahun depan terpaksa kurang 10 pasukan pun tak apa. Contohnya, Liga Super 10 pasukan dan Liga Perdana 10 pasulan, kita tetap jalan sebab kita nak betul-betul pasukan yang sihat.

“Pasukan yang tak sihat ini boleh rehat dulu dan perbaiki dulu dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya yang turut memikul tanggungjawab sebagai Presiden MFL.