‘Tak sangka anjing jalanan cari sampai tempat kerja’

“BUKAN perhatian sesiapa yang saya mahukan kerana apa yang lebih penting mesej di sebalik video berkenaan, berbuat baik kepada haiwan jalanan, lagipun dalam rezeki kita, ada juga bahagian haiwan itu.

“Tak sangka pula anjing itu mengekori saya sampai ke tempat kerja,” kata Mohd Ridhuan Daud.

Mohd Ridhuan, 22, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai ciapan video dimuat naiknya di Twitter yang mendapat perhatian warganet berikutan kemuliaan hatinya yang kerap memberi makan anjing jalanan sehingga ‘diekori’ haiwan itu ke tempat kerja.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 52 saat itu menunjukkan Mohd Ridhuan memujuk seekor anjing dengan mengusap dagu dan kepala haiwan yang kelihatan seolah-olah dalam kesedihan.

Mohd Ridhuan dilihat memakai sarung tangan ketika menyentuh anjing berkenaan.

Tindakan itu dilakukan kerana ketika itu, Mohd Ridhuan mahu pulang ke rumah selepas selesai tugasan di sebuah kedai serbaneka di Sungai Rengit, Pengerang, Johor.

Bercerita lanjut, anjing itu ditemui selepas kerap ke pantai berhampiran kawasan perumahannya.

“Saya selalu pergi ke pantai berkenaan untuk ambil angin dan ketika itulah bertemu dengan anjing berkenaan.

“Mulanya memang takut kerana terdapat beberapa ekor (anjing) lagi di situ tetapi anjing berkenaan tidak bertindak agresif jauh sekali mengejar atau cuba mencederakan saya.

“Sejak itu, saya jadi berani untuk memberi makan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Ridhuan diajar arwah ibunya untuk menyayangi haiwan. FOTO Ihsan Mohd Ridhuan Daud
Mohd Ridhuan diajar arwah ibunya untuk menyayangi haiwan. FOTO Ihsan Mohd Ridhuan Daud

Disebabkan kesibukan kerja, Mohd Ridhuan tiada masa untuk ke pantai bagi memberi makan kepada anjing berkenaan.

“Baru-baru ini, anjing berkenaan dengan tiba-tiba muncul di hadapan premis tempat kerja yang terletak kira-kira 200 meter dari pantai seolah-olah mencari saya.

“Sejak itu, anjing berkenaan tidak berganjak dan sebenarnya ada empat ekor kesemuanya.

“Bagaimanapun, dua daripadanya sudah diambil pihak berkuasa kerana ada aduan daripada orang awam manakala seekor lagi berkeliaran di kedai makan dan kini tinggal seekor saja iaitu yang dirakam di dalam video tempoh hari,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, sejak kecil lagi, arwah ibunya, Rosiah Karim sudah mengajar untuk menyayangi haiwan.

“Jadi, amalan memberi makan itu sudah jadi seperti rutin harian. Kalau tidak bagi (makan), rasa tidak lengkap.

“Malah, saya berasa gembira setiap kali melihat haiwan makan walaupun makanan diberi bukanlah dalam kuantiti yang banyak,” katanya.