Tak stres cipta lagu

DISKOGRAFI dihasilkan penyanyi rap SonaOne setakat ini tidak dinafikan memiliki keunikan dan kualiti tersendiri.

Penyanyi kacukan Melayu-Perancis itu benar-benar membawa gelombang luar biasa dalam industri muzik hip hop tempatan.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 32, bagaimanapun bertukar angin dalam corak menghasilkan karyanya.

Menurutnya, dia mahu muziknya dinikmati dengan keseronokan dan bukan diiringi tekanan.

Justeru, dia menetapkan corak yang lebih bebas dalam berkarya. Bahkan, untuk album akan datang, dia mahu hasil seninya tidak terikat dengan konsep tertentu sebaliknya menjadi medium lepas geram.

“Saya kini bertukar kepada penghasilan karya tanpa konsep tertentu yang keseluruhan album saya ibaratkan sebagai sebuah buku skrap yang mana untuk lukis suka-suka. Sekarang, saya cuma ambil mikrofon, nyanyi secara rawak dan lepas geram.

“Ini disebabkan, kalau buat lagu yang ada konsep, ia memberi tekanan buat saya. Rasa macam hasil seni saya bertukar jadi bebanan kerja. Apabila fikir ia kerja, saya jadi tekanan. Apa guna saya buat perkara yang saya suka iaitu muzik, tapi saya tertekan?

“Saya berhenti ikut cara kerja saya dulu, saya berhenti menulis dan lebih kepada gaya bebas kerana berasa ia lebih bebas,” katanya pada pelancaran lagu baharunya berjudul Kuey Teow kerjasama dengan Kidd Santhe.

Berkongsi lanjut, SonaOne mengakui corak penghasilan karyanya sebelum ini sebenarnya cukup membebankan diri sendiri.

Baginya, terlalu menitiberatkan kesempurnaan ternyata memakan diri sendiri.

Namun, dia akhirnya mendapat rentak yang jauh lebih menyenangkan dan hakikatnya mengubah perspektif dirinya sebagai pengkarya.

Dia tidak mahu lagi terperangkap dalam kotak pemikiran yang terlalu menyesakkan fikirannya.

“Hampir semua perkara membuatkan saya tertekan setiap kali hasilkan lagu sebelum ini. Misalnya kalau buat satu lagu, apabila saya dengar balik dua minggu selepas itu, banyak saya nak ubah dalam lagu itu.

“Apabila mula terlebih fikir mengenainya, pada ketika itu saya rasa lagu berkenaan jadi macam ada tak kena. Kerana itu saya ambil keputusan untuk tidak mahu kembali menilai semula lagu itu sebaik siap.

“Kalau dulu, saya kena fikir dulu sebelum tulis. Tapi, sekarang apa yang saya cakap, itu saya tulis dalam lagu. Dalam muzik, saya kena cakap apa yang berbunyi bagus supaya lagu itu lebih bagus,” katanya.

Formula sebegitu di mata SonaOne sebenarnya memberi kelebihan kepadanya untuk meminimakan kerunsingan fikiran selain menjimatkan masa membuat lagu.

Bahkan dia mengakui karyanya jauh lebih organik dengan pendekatan itu.

“Hakikatnya sudah lebih setahun saya tukar corak penulisan lagu kepada begini selepas tamat buat album Details bersama Alif. Kalau ikutkan, penghasilan album itupun sangat membuatkan kami rasa bebas dan tidak mahu terlalu stres. Penghasilannya jadi lebih organik.

TAMPIL dengan lagu Kuey Teow bersama Kidd Santhe.
TAMPIL dengan lagu Kuey Teow bersama Kidd Santhe.

“Apabila saya bekerja sendiri selepas itu, saya dapat rasakan corak kerja sebegitu jauh lebih menyenangkan. Saya lebih utamakan lagu itu kedengaran bagus berbanding fokus kepada makna tersirat dalamnya.

“Sebab kalau nak berkias, satu perkataan saja pun boleh membawa kepada pelbagai tafsiran. Interpretasi pendengar juga masing-masing tidak sama terpulang kepada cara pemahaman sendiri,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Kuey Teow pula, menurutnya dia turut mengambil pendekatan sama yang mana dia mahu bebas teroka idea bersama Kidd Santhe dalam lagu itu.

Lebih penting bagi mereka adalah ia memberi keseronokan pada halwa telinga pendengar.

“Lagu Kuey Teow sama seperti semua lagu lain dalam album akan datang di mana semuanya dihasilkan dengan suka-suka. Lirik, melodi, bar semua rawak, tapi ia buatkan pendengar rasa seronok

“Disebabkan itu judulnya Kuey Teow di mana lebih kedengaran menyeronokkan. Lagu itu bukan pasal makanan pun,” katanya.

Bersempena pelancaran lagu itu, SonaOne dan Kidd Santhe turut mengadakan sebuah previu istimewa baru-baru ini.

20 peminat diberi peluang eksklusif untuk pratonton muzik video dan persembahan langsung mereka di Rasta, TTDI.

Acara dianjurkan Def Jam Malaysia dan Universal Music Malaysia yang berjudul ‘The Appetizer’ ini menyaksikan SonaOne dan Kidd Santhe menjamu hadirin dengan persembahan lagu terbabit buat julung kali.

Berlangsung sederhana tapi meriah, mereka turut memakai pelitup muka dari mula hingga akhir acara. Ia bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial dan penggunaan aplikasi daftar masuk sebagai langkah berwaspada dengan pandemik Covid-19.