Tak tendang, tolak je…

PENGARAH drama My Sweet Heart Hannan, Adam Hamid didakwa ditendang pelakon utama drama itu Hafidz Roshdi di lokasi penggambaran di Sungai Buloh pada Khamis lalu.

Adam ketika dihubungi bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya mengakui pelakon itu hanya menolak dirinya sebelum mengambil keputusan meninggalkan lokasi.

“Dia tak tendang tapi hanya tolak saja. Pada hari itu saya agak beremosi kerana ada kru yang asyik mengulangi kesalahan sama hingga membuatkan saya tarik muka. Mulut saya pun celupar ketika itu.

“Jadi, mungkin dia fikir saya lepaskan kemarahan kepada dirinya kerana sebelumnya sudah beberapa kali juga saya menegur lakonannya sedangkan pada hari kejadian dia berlakon dengan baik.

“Cuma, biasalah kita manusia ada hari kita panas dan sejuk. Mungkin dia rasa saya marah kepadanya,” katanya kepada Harian Metro.

Enggan memanjangkan isu itu, Adam tampil meminta maaf kepada pelakon itu pada keesokan hari.

“Bagi saya apa yang terjadi hanyalah salah faham. Saya mengalah dan hantar mesej minta maaf.

HAFIDZ ROSHDI
HAFIDZ ROSHDI

“Saya fikir kalau saya terangkan pada hari kejadian benda ini akan jadi lebih panas. Jadi, lebih baik saya pulang dan terangkan masalah yang saya hadapi pada keesokannya.

“Dia pun minta maaf atas apa yang berlaku dan mengakui dirinya agak tertekan dengan cara lakonannya kerana watak terbabit agak berat untuk dibawa. Namun, semuanya sudah selesai dan saya pun sudah kembali ke lokasi hari ini.

“Saya pun sudah maafkan dia sebab anggap dia pun macam anak. Kami dah buang yang keruh ambil yang jernih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adam berkata, drama 26 episod yang bakal ditayangkan di saluran RTM itu berbaki enam hari lagi.

Selain Hafidz, drama terbabit turut dibintangi Eyka Farhana dan Dyba Farhana.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan daripada Hafidz gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab.