Takut virus Covid-19 pada mayat

JAKARTA: Penduduk di Kampung Sewakul, Barat Ungaran, Semarang menghalang pihak berkuasa mengebumikan jenazah jururawat yang meninggal dunia akibat Covid-19 di kawasan tanah perkuburan di kampung mereka.

Ia berikutan penduduk bimbang virus berkenaan boleh merebak dalam kalangan mereka.

Jakarta Post melaporkan, Nuria Kurniasih, 38, jururawat di Hospital Kariadi, Semarang, meninggal dunia Khamis lalu, selepas seminggu dirawat akibat jangkitan virus itu.

Jenazah sepatutnya dikebumikan di kampung halamannya di Pemakaman Umum Sewakul, bersebelahan kubur bapanya namun sekumpulan penduduk menghalang pihak berkuasa berbuat demikian.

Jenazah kemudian dipindahkan ke Tanah Perkuburan Bergota iaitu kawasan perkuburan awam terbesar di Semarang.

Video berkaitan insiden itu tersebar di media sosial dan menimbulkan kemarahan awam yang menyifatkan penduduk berkenaan tidak menghormati jenazah kakitangan perubatan yang banyak berkorban merawat pesakit Covid-19.

Menurut media tempatan, sekumpulan penduduk menghalang pihak berkuasa memasuki tanah perkuburan itu sekalipun semua persiapan pengebumian dilakukan, malah keluarga jururawat itu turut menangis dan merayu penduduk tidak berbuat demikian.

KAWASAN perkuburan awam di Jakarta Barat yang menempatkan mangsa maut akibat Covid-19. FOTO Jakarta Post
KAWASAN perkuburan awam di Jakarta Barat yang menempatkan mangsa maut akibat Covid-19. FOTO Jakarta Post

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dalam satu kenyataan meluahkan kekesalan berhubung kejadian dan berharap ia tidak berulang apatah lagi membabitkan petugas kesihatan yang berjasa kepada masyarakat dan negara.

“Jenazah pesakit Covid-19 dikendali mengikut standard keselamatan disarankan.

“Jururawat, doktor dan petugas kesihatan tidak pernah menolak pesakit. Kenapa kita buat begini sedangkan mereka banyak berkorban menyelamatkan kita?” katanya.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan peningkatan kes harian tertinggi setakat ini iaitu 399 kes baharu bagi jangkitan Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan 4,241 kes. Jurucakap Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto berkata, jumlah korban pandemik ini juga direkodkan seramai 46 orang dengan jumlah keseluruhan 373 kematian setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19