Taman Sri Murni dikenakan PKPD?

KAWASAN Taman Sri Murni yang terletak berhampiran Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, dipercayai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Seorang anggota polis yang bertugas di sekitar kawasan itu memaklumkan pihaknya ditugaskan di lokasi itu selepas menerima arahan daripada pihak atasan berhubung arahan PKPD, semalam.

“Kami menerima arahan untuk bertugas di kawasan ini yang dikenakan PKPD sejak tengah malam tadi.

“Maklumat lanjut kena tanya pihak yang mempunyai bidang kuasa berkaitan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro mendapati terdapat pagar kawat duri dipasang di laluan keluar dan masuk kawasan perumahan itu.

Beberapa anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut berada di lokasi bagi mengawal situasi semasa.

Terdapat satu sekatan jalan raya terletak kira-kira 100 meter dari lokasi pagar kawat duri dipasang di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan