Tambah bekalan vaksin Covid-19: PM [METROTV]

Muar: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah mengarahkan supaya bekalan vaksin Covid-19 segera ditambah sehingga 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Muhyiddin berkata, penambahan vaksin sehingga 70 peratus itu juga dinasihat dan disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya juga sudah arahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, untuk berunding dan dapatkan bekalan vaksin Covid-19 sehingga 60 atau 70 peratus daripada jumlah populasi rakyat kita.

“Sekarang Malaysia sudah dapatkan 30 peratus vaksin Covid-19, namun bagi saya ia tidak mencukupi.

“Ada negara penduduk tak ramai tetapi beli sehingga 200 peratus vaksin Covid-19 berbanding jumlah rakyat. Kanada juga beli lima kali ganda vaksin Covid-19 daripada jumlah rakyat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Deepavali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Muniandy, Sagil, Tangkak, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full.

MUHYIDDIN menandatangani plak ketika menghadiri Sambutan Hari Deepavali 2020 DUN Gambir. Turut hadir Pengerusi Kuil Sri Maha Mathurai Veeran Sri Maha Kaaliyamman Sagil R.Philip (kanan). FOTO Bernama
MUHYIDDIN menandatangani plak ketika menghadiri Sambutan Hari Deepavali 2020 DUN Gambir. Turut hadir Pengerusi Kuil Sri Maha Mathurai Veeran Sri Maha Kaaliyamman Sagil R.Philip (kanan). FOTO Bernama

November lalu, Malaysia dilaporkan akan mendapatkan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 6.4 juta rakyat negara ini.

Muhyiddin turut mengarahkan bekalan vaksin COVID-19 negara, yang dijangka tiba Mac ini, dihantar lebih awal.

“Vaksin yang Malaysia beli dijangka sampai Mac ini,namun saya sudah minta ia dihantar lebih awal daripada itu demi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Saya tak mahu rakyat marah.Oleh itu,saya sudah pesan KKM supaya memaklumkan pembekal vaksin supaya hantar lebih awal,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Malaysia sehingga kini sudah membelanjakan lebih RM2 bilion daripada jumlah RM3 bilion yang diperuntukkan untuk membeli 30 peratus vaksin untuk negara.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, beliau juga sudah mengarahkan KKM membuka lebih banyak hospital sementara sebagai persediaan pertambahan kes jangkitan COVID-19 negara.

Katanya,beliau juga mengarahkan kapasiti katil di Pusat Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang ditambah kepada 10,000 berbanding hanya 600 sebelum ini.

“Ini semua sebagai persediaan berikutan Malaysia masih belum berjaya melandaikan lengkung kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Kes jangkitan makin tinggi terutama di Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan beberapa negeri lagi,” katanya.

JURUTEKNOLOGI makmal Klinik Kesihatan Sandakan menguji sampel penduduk menggunakan kit Ujian Pantas (RTK)-Antigen sewaktu mengadakan saringan COVID-19 dalam Operasi Bersepadu di Pulau Berhala, semalam. Kerajaan cadang naikkan pembelian vaksin Covid-19 daripada 30 peratus kepada 60 hingga 70 peratus jumlah penduduk. FOTO Bernama
JURUTEKNOLOGI makmal Klinik Kesihatan Sandakan menguji sampel penduduk menggunakan kit Ujian Pantas (RTK)-Antigen sewaktu mengadakan saringan COVID-19 dalam Operasi Bersepadu di Pulau Berhala, semalam. Kerajaan cadang naikkan pembelian vaksin Covid-19 daripada 30 peratus kepada 60 hingga 70 peratus jumlah penduduk. FOTO Bernama

Berita berkaitan:

  • Kos akhir pembekalan vaksin diteliti [METROTV]
  • KKM pantau perkembangan vaksin Covid-19
  • Malaysia tunggu keberkesanan vaksin Covid-19 [METROTV]
  • 12.8 juta dos vaksin Covid-19 tahun depan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19