Tangan bayi 7 hari putus digigit anjing

Melaka: Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan keluarganya di Bachang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian berlaku 8.30 pagi pada 8 September lalu, ketika bayi berkenaan dijaga makciknya di rumah.

Katanya, ketika kejadian, wanita terbabit membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah dengan tujuan untuk dikenakan cahaya matahari bagi mengurangkan masalah penyakit jaundis (demam kuning).

“Ketika itu, bayi sulung pasangan itu baru sahaja diberi susu oleh ibunya yang masih berpantang dan ditemani suami yang sedang berehat di tingkat atas rumah.

“Ketika hendak memandikan bayi berkenaan, makciknya meletakkan bayi itu seperti biasa di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat untuk dikenakan cahaya matahari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, wanita itu kemudian meninggalkan bayi seketika untuk mengambil air mandian.

“Apabila kembali semula ke pintu, wanita itu terkejut apabila melihat tangan kanan bayi tersebut sedang digigit seekor daripada anjing peliharaan milik suaminya.

“Dalam keadaan panik itu dia melihat anjing berkenaan menggigit tangan kanan bayi di luar pagar diikuti tangisan kuat bayi yang berlumuran darah,” katanya.

Susulan keadaan itu, wanita berkenaan menjerit sekuat hati, sekali gus mengejutkan ahli keluarga yang lain.

Katanya, ahli keluarga yang panik, terus membawa bayi terbabit ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pihak hospital meminta bayi itu dirujuk ke Hospital Melaka.

“Bayi malang itu ditempatkan di zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan doktor pakar. Ketika ini, bayi itu sedang menjalani pembedahan,” katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, anjing milik suami wanita berkenaan dipercayai dari jenis ‘Plott Hound’ dan didapati dibiarkan tanpa diikat atau dikurung di kawasan rumah bagi tujuan menjaga kawasan kediaman.

“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah menangkap haiwan berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001/289 Kanun Keseksaan,” katanya.