Tangan emas

Kuala Lumpur: Penjaga gol Melaka United yang paling banyak memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK), Khairul Fahmi Che Mat mengakui teringin untuk melihat penjaga gol daripada Liga Perdana muncul pemenang tahun ini.

Dia yang sekali lagi tercalon tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mengungguli kategori itu pada musim ini memandangkan persaingan antara calon lain amat sengit.

Pemain kelahiran Kelantan ini yang memenangi kategori itu sejak 2010 sehingga 2013 dan kali terakhir pada 2016, bagaimanapun berpuas hati apabila tercalon pada tahun ini selain menganggap peluangnya untuk menang agak tipis.

“Alhamdulillah saya tercalon untuk tahun ini dan sebenarnya ini semua hasil kerjasama satu pasukan yang banyak membantu walaupun kita tahu perlawanan musim ini juga tidak banyak, jadi semua pemain hanya ada peluang terhad untuk menonjolkan aksi terbaik.

“Kalau ikutkan calon yang ada, kita semua tahu Farizal Marlias (JDT) tetap yang terbaik, tetapi saya berminat untuk melihat calon daripada Liga Perdana seperti Samuel Somerville (Pulau Pinang) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur) mencipta kejutan pada tahun ini.

“Kedua-dua mereka juga tidak kurang hebatnya dalam membantu pasukan sehingga layak ke Liga Super, tetapi apa-apa pun kita tunggu sahaja siapakah yang terbaik untuk dinobatkan pemenang”, katanya.

Enam lagi calon lain bagi kategori Penjaga Gol Terbaik adalah Iqbal Suhimi (Kuching FA), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang) dan Suhaimi Husin (Terengganu FC II).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri profesional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin lalu dan akan berakhir pada tengah malam esok.

REMEZEY Che Ros (UKM FC)
REMEZEY Che Ros (UKM FC)