Tangki misteri muncul di Pantai Lutong

Miri: Beberapa objek seperti tangki besi muncul di permukaan pasir di Pantai Lutong, di sini, semalam.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Sebastian Ting berkata, objek itu ditemui penduduk setempat yang kemudian memaklumkan kepadanya.

Susulan itu, beliau meninjau ke lokasi penemuan objek berkenaan dan turut menghubungi pihak berkaitan bagi memaklumkan mengenainya.

“Saya berharap penemuan ini menambah nilai baharu kepada sejarah di Miri,” katanya dalam kenyataan.

Sebastian yang juga Adun Piasau berkata, objek itu dipercayai muncul akibat hakisan yang semakin membimbangkan di Pantai Lutong.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi pakar bebas minyak dan gas, John Hill bagi mendapatkan pandangannya mengenai penemuan itu.

Katanya, ia kerana Hill pernah datang ke Miri untuk menjalankan kajian berkaitan sumber minyak dan gas pada 1981.

Sementara, Hill ketika dihubungi berkata, beliau masih menyiasat kewujudan ‘tangki’ berkenaan.

“Saya mengesyaki ia adalah sebahagian daripada struktur gun turret semasa Perang Dunia Kedua.

“Saya akan menghubungi Memorial Perang Australia untuk melihat apakah mereka dapat membantu dalam penyiasatan saya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Jabatan Muzium akan menjalankan kajian ke atas penemuan itu.

“Ia mungkin struktur untuk minyak dan gas namun kita tunggu pengesahan daripada pakar nanti,” katanya.