Tarik rambut berebut PS5

Charlotte: Gara-gara berebutkan permainan video Playstation 5 (PS5), dua wanita di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) bertengkar dan bertumbuk.

The Sun melaporkan insiden memalukan itu berlaku di Walmart Charlotte, North Carolina, pada 13 Disember lalu.

Dalam rakaman video tular menunjukkan, adegan perang mulut itu bermula apabila seorang wanita berambut panjang menjerit kepada seorang lagi wanita yang memakai hoodie hitam.

Kedua-duanya terus bertikam lidah dan menarik rambut antara satu sama lain di kedai elektronik sementara pelanggan lain sedang berbaris dengan troli beli-belah masing-masing.

Episod pergaduhan itu berakhir selepas wanita memakai hoodie itu memijak muka wanita berambut panjang itu.

Menurut TMZ, wanita itu meninggalkan gedung terbabit sebelum polis tiba.

Kejadian itu kali kedua berlaku dalam seminggu membabitkan peminat bertelagah untuk mendapatkan konsul PS5 masing-masing.

Pada Khamis lalu, seorang ibu yang mengendong bayi berusia empat bulan menumbuk seorang pegawai polis.

Kejadian itu berlaku di Walmart Florida, apabila wanita itu dimaklumkan PS5 habis dijual.