Taring baharu Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Taring skuad Harimau Malaya dijangka bertambah tajam apabila dua lagi pemain import bakal dinaturalisasikan sekaligus mengikut jejak Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Dua pemain yang berada dalam radar itu adalah pemain tengah Pulau Pinang, Endrick Dos Santos dan tonggak sayap lincah, Gonzalo Cabrera.

Perkara ini dikongsikan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ditemubual stesen televisyen swasta tempatan apabila mengesahkan kedudukan kedua-dua pemain itu bakal mendapat kerakyatan Malaysia untuk mewakili negara sebagai pemain naturalisasi.

Endrick yang berasal dari Brazil akan menyertai JDT pada musim 2022 sementara Cabrera akan terus kekal bersama skuad Harimau Selatan itu.

Untuk rekod, Endrick mula beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bersama Felcra FC pada 2018 dan selepas itu menyarung jersi Selangor pada 2019 sebelum memilih Pulau Pinang musim ini. Dia akan melengkapkan tahun kelimanya pada musim 2022 sementara Cabrera pula sudah bersama JDT sejak 2017 dan akan melengkapkan tahun kelima di Malaysia tahun depan.

Sebelum ini, Sumareh muncul pemain pertama sebagai tonggak naturalisasi Harimau Malaya pada 2018 sebelum Liridon meraih status sama pada tahun ini.

Sementara itu, Tunku Ismail turut mengakui JDT sedang berunding mendapatkan khidmat pemain kacukan negara, Isaac Angking yang sebelum ini beraksi di Amerika Syarikat dengan kelab, New England Revolution.

Malah, dua lagi pemain turut disahkan sudah diikat juara Liga Super sebanyak tujuh kali itu antaranya bekas pemain Felda United, Daniel Amier Norhisham dan seorang penyerang kelahiran Argentina yang tidak didedahkan.