Taring baru harimau

Kuala Lumpur: Kejayaan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin meledak dua gol dalam dua aksi bersama KV Kortrijk (KVK) di Belgium turut mendapat perhatian barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Luqman, 18, yang mencetak gol sulung bersama skuad utama KVK serta satu lagi gol ketika beraksi dengan pasukan B-21 KVK jelas memiliki potensi besar yang boleh dipertaruhkan di peringkat antarabangsa.

Menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, beliau mengikuti rapat perkembangan Luqman di Liga Belgium dan mengakui kagum dengan sikap penyerang muda itu yang pantas menyesuaikan diri di sana.

Justeru, beliau tidak keberatan memberi peluang kepada Luqman disenaraikan dalam latihan pusat skuad senior selepas ini.

“Saya suka setiap kali latihan ada pemain muda yang menonjol untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.

“Pintu sentiasa terbuka buat mana-mana pemain bukan saja Luqman, malah begitu juga dengan pemain lain.

“Sudah tentu ia (kejayaan Luqman menjaringkan dua gol) satu perkara yang positif dan petanda baik kerana dia boleh cepat menyesuaikan diri di Eropah.

“Jadi memang baguslah untuk bola sepak Malaysia dan dalam masa sama, untuk pasukan negara juga memang bagus,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah mencadangkan barisan kejurulatihan senior negara memberi peluang kepada Luqman.

Kata Azraai, prestasi memberangsangkan Luqman di Eropah meskipun baharu sebulan berada di sana menandakan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sedia menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan.

Antara tugasan penting yang bakal menanti Luqman sekiranya dipanggil oleh Cheng Hoe adalah menghadapi baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijangka bersambung pada Mac tahun depan.

“Memang kita sentiasa memantau kerana setiap pemain kita kena pantau prestasi mereka dan juga perkembangan masing-masing,” kata Cheng Hoe yang dilantik sebagai jurulatih negara pada Disember 2017 lalu bagi menggantikan Nelo Vingada.

Untuk rekod, Luqman menyertai kelab divisyen satu Belgium itu dengan kontrak panjang selama lima musim dan muncul sebagai pemain pertama Malaysia yang beraksi dalam liga utama Eropah.

Luqman yang mula menyertai KVK pada Ogos lalu tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila dia mencetak satu gol untuk membantu pasukan utama menewaskan BX Brussel 2-1 pada aksi persahabatan minggu lalu.