Tawar gaji bulanan untuk ‘kekasih’

Tokyo: Seorang gadis cantik yang juga personaliti media sosial di Jepun menawarkan 400,000 yen (kira-kira RM15,800) sebulan sebagai gaji kepada lelaki yang sanggup menjadi kekasihnya.

Miu Miu yang berusia 25 tahun sanggup berbuat demikian hanya disebabkan mahu berada pada posisi lebih tinggi daripada ‘kekasihnya’ kerana dia yang menanggung perbelanjaan.

Wanita yang memiliki kulit putih mulus dan bertubuh seksi ibarat patung itu itu membuat tawaran berkenaan menerusi laman Twitternya yang memiliki lebih 38,000 pengikut.

Menerusi laporan Khanh Daily, ribuan lelaki kini mencuba nasib bagi menjadi kekasih wanita itu.

Dalam tawaran itu juga, Miu Miu turut menyatakan kriteria yang perlu dimiliki lelaki yang mahu menjadi kekasihnya iaitu berusia antara 18 hingga 28 tahun.

Selain itu, teman lelakinya itu perlu mempunyai penampilan menarik, berkerjaya serta memiliki latar belakang dan keperibadian yang baik.

Bagaimanapun, dia turut memberi peluang kepada lelaki yang tidak memenuhi kriteria berkenaan termasuk kepada individu pemalas dan suka berjudi.

“Tapi paling penting lelaki itu mencintai saya sepenuh hatinya… bukan untuk menipu. Jika ada yang berjaya, saya akan bayar gaji setiap bulan,” katanya.

Tawarannya itu menjadi tular sehingga dia dipanggil untuk menjadi tetamu pada satu program televisyen untuk menceritakan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia memiliki kekasih, namun cintanya dikhianati.

Jadi, amat sukar untuknya kembali mempercayai lelaki dan dia mengakui tidak bercinta lagi selepas kegagalan hubungan itu.

“Saya percaya dengan mengeluarkan wang untuk kekasih, saya akan berada pada posisi lebih tinggi daripadanya.

“Saya berhak membuat sebarang keputusan dan tidak bimbang jika dikhianati,” katanya.