Teguh ketakwaan, banyakkan ibadah – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah umat Islam di negara ini mengambil peluang keberkatan bulan Ramadan untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan ibadah dan amalan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Umat Islam di negara ini diseru mengimarahkan seluruh bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan amal soleh yang digandakan berbanding bulan yang lain.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya umat Islam memperkukuhkan ukhwah sesama insan dan bersatu hati serta mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling.

“Semoga kehadiran bulan mulia ini disambut dengan rasa insaf dan bersyukur atas ujian serta rahmat dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” titahnya menerusi satu kenyataan Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga, baginda berdua dan Istana Negara dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tidak menghadiri atau menganjurkan sebarang bentuk majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan demi kesejahteraan rakyat.

“Baginda bertitah supaya umat Islam khususnya petugas barisan hadapan terus tabah menjalani ibadah puasa dalam suasana dan tatacara baharu bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“Umat Islam diseru mengambil peluang sempena Ramadan untuk diraikan bersama keluarga tersayang di rumah masing-masing.

“Langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang berusia dan anak kecil daripada dijangkiti Covid-19,” titahnya.

Baginda turut berharap, semoga trend pengurangan kes baharu dan penambahan kes pulih berterusan supaya lengkungan kes positif virus itu dapat diratakan dengan pantas.

Ahmad Fadil berkata, baginda berdua turut menzahirkan harapan supaya umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk sama-sama berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta pandemik itu dapat dibendung dan diakhiri dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan