Teka-teki siapa Ketua Menteri Sabah

Kota Kinabalu: Teka-teki siapa bakal dipilih menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu masih belum terjawab.

Seawal 8 pagi hari ini, pengamal media sudah mula berkumpul di depan pintu masuk Istana Negeri bagi mengikuti perkembangan terkini perlantikan itu.

Namun, sehingga kini tiada sebarang pergerakan masuk pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertemu Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk mengangkat sumpah.

Pada masa sama, difahamkan beberapa mesyuarat berasingan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sedang berlangsung di lokasi berbeza sekitar bandar ini sejak pagi hari ini.

Ia dikatakan mempunyai kaitan perlantikan Ketua Menteri yang masih ‘tergantung’ sehingga kini sama ada dari PN atau BN.

PN sebelum ini mengumumkan Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor yang menang kerusi Sulaman sebagai calon Ketua Menteri.

Namun, BN mengambil pendekatan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini terlebih dulu sebelum menamakan calon Ketua Menteri walaupun Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menang kerusi Lamag dikatakan antara calon akan diangkat ke jawatan itu.

Malam tadi, Hajiji memaklumkan angkat sumpah Ketua Menteri akan diadakan pagi ini selepas mendapat persetujuan dalam kalangan pemimpin PN.

Namun, BN tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai jawatan itu walaupun menang 14 kerusi.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi membentuk kerajaan selepas memenangi PRN Sabah dengan 38 kerusi, malam tadi.

Gabungan itu dianggotai PN menenangi 17 kerusi, manakala BN pula mendapat 14 kerusi seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dapat menawan tujuh kerusi.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah