Temco di 4 mukim di Kedah, 2 kampung di Perlis tamat esok [METROTV]

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah akan ditamatkan esok.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira tiada kes positif baharu dan semua penduduk di kawasan berkenaan sudah menjalani saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM sudah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Jadi esok tiada lagi kawalan Temco di kampung terbabit di Perlis dan di Kedah,” katanya dalam sidang media di Parlimen mengenai PKP hari ke-161 dan hari ke-77 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Kakitangan KKM menaiki kenderaan pacuan empat roda ketika masuk ke Kampung Kuala Sanglang untuk melakukan proses sanitasi. FOTO
Kakitangan KKM menaiki kenderaan pacuan empat roda ketika masuk ke Kampung Kuala Sanglang untuk melakukan proses sanitasi. FOTO

Temco di kawasan itu ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 31 Ogos.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, terdapat beberapa kes positif dilaporkan di empat daerah di Kedah seperti di Baling dan Sik yang membabitkan Kluster Tawar, namun KKM memutuskan Temco tidak perlu dikenakan kerana kawalan secara kumpulan bersasar masih boleh memastikan jangkitan terkawal.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan Temco di empat kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan Covid-19 yang berpunca daripada Kluster PUI Sivagangga.

Sementara, pada 10 Ogos lalu dua kawasan di Perlis dikenakan Temco hingga 31 Ogos iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan