Tengkorak, tulang manusia dalam plastik

DUA tengkorak dan serpihan tulang manusia ditemui dalam bungkusan plastik di tempat pembuangan sampah di Jalan Kolam Ikan, Bayan Lepas, semalam.

Ia ditemui oleh orang awam sebelum melaporkan kepada polis pada 7.34 malam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mendakwa menemui tulang dipercayai milik manusia di kawasan berkenaan.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) ditempatkan di lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan menjumpai dua tengkorak manusia serta serpihan tulang badan yang dibungkus dalam plastik, ” katanya hari ini.

Anbalagan berkata, saksi mendakwa menyedari tengkorak dan serpihan tulang berkenaan sebelum melaporkan kepada polis.

Katanya, setakat ini tiada saksi bebas tampil bagi memberi keterangan mengenai penemuan itu.

“Berdasarkan penandaan yang tertera pada tulang itu kemungkinan besar dipercayai digunakan bagi tujuan pembelajaran atau ‘university usage for education’.

“Semua tengkorak dan tulang itu diserah kepada Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi dianalisa,” katanya.