Terhibur lihat gaya Naruto

Tokyo: Sebuah keluarga di Jepun tampil dengan hobi unik apabila kerap menggayakan kostum animasi watak popular dalam kehidupan seharian mereka.

Gambar aktiviti sepasang suami isteri bersama anak mereka dalam cara unik menggayakan kostum watak popular daripada animasi Naruto dan Detective Conan dikongsikan di media sosial hingga menjadi perhatian warganet.

Keluarga itu bahagia menikmati hidangan ramen pada makan malam mereka dalam kostum Naruto, Hinata dan Boruto.

Persembahan mereka sekeluarga sangat mengagumkan dengan memberikan perhatian terperinci pada setiap penampilan kostum dan lokasi serta cara tersendiri.

Misalnya, mereka menampilkan kelainan dengan suami berperanan sebagai Sakura manakala isterinya tampil sebagai Sasuke dalam animasi Naruto.

SEBUAH keluarga dalam kostum animasi Detective Conan. FOTO agensi
SEBUAH keluarga dalam kostum animasi Detective Conan. FOTO agensi

Pemilik Twitter @xMiCaNx yang memuat naik aktiviti keluarga itu dalam keterangan pada profil menjelaskan, dia mahu menjadi bapa yang cool dengan menampilkan idea persembahan kostum menarik bersama isteri dan anak lelaki mereka.

Selepas menerima perhatian meluas sejak minggu lalu, @xMiCaNx kembali membuat ciapan balas sebagai penghargaan.

“Hi! Terima kasih kerana melihat gambar kostum kami. Kami sukakan cosplay.

“Kami akan terus membuktikan cosplay perkara yang menggembirakan dan menyeronokkan untuk setiap orang dan keluarga,” katanya seperti dipetik dalam portal Channel News Asia.