Terima kasih ‘nyawa’ kami!

TAK semua berpeluang dan punya kudrat yang kuat untuk berjuang di barisan hadapan dalam situasi negara yang dilanda wabak Covid-19 ketika ini.

Namun, sebagai masyarakat kita hanya mampu mendoakan dan tunjukkan rasa penghargaan kita kepada barisan hadapan yang berjuang ini.

Disebabkan itu, penyanyi Ismail Izzani hadir dengan single baharu berjudul Nyawa yang juga sebagai tanda penghargaan buat mereka yang berada di barisan hadapan ini.

“Ia adalah lagu romantis. Lagu di mana seseorang meluahkan perasaan kasih dan sayangnya kepada insan lain.

“Dalam situasi sekarang, saya melihat lagu ini sebagai satu tanda penghargaan buat barisan hadapan yang berjuang untuk menyelamatkan nyawa dalam krisis Covid-19 sekarang, katanya.

Menurutnya, mereka yang bekerja di barisan hadapan ini umpama nyawa yang membantu menyelamatkan nyawa yang lain.

“Apabila saya tonton dan baca berita mengenai penularan wabak ini, saya terfikir bagaimana agaknya kerja keras pasukan barisan hadapan ini dalam menyelamatkan nyawa mereka yang dijangkiti.

“Ia tentunya bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi mereka ini adalah antara individu yang mempertaruhkan nyawa kerana mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti.

“Timbul rasa sedih dan simpati dengan mereka, namun kita hargai penat lelah mereka kerana mereka melakukan kerja mereka untuk membantu masyarakat, katanya.

SELAIN berinteraksi dengan peminat secara langsung di Instagram sepanjang PKP, Ismail juga belajar memasak.
SELAIN berinteraksi dengan peminat secara langsung di Instagram sepanjang PKP, Ismail juga belajar memasak.

Bercerita mengenai lagu ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Omar K itu, Ismail berkata, dia mendengar setiap reaksi dan permintaan daripada peminat.

“Sebelum ini, saya pernah keluarkan lagu Demi Kita yang berentak balada. Jadi, dari situ, ramai peminat yang nak saya keluarkan lebih banyak lagu bergenre sebegini.

“Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk keluarkan lagu Nyawa ini sesuai dengan kehendak dan permintaan peminat, katanya.

Berkongsi mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bermula 18 Mac hingga 14 April depan, Ismail berkata, dia meneroka pelbagai kemampuan baru dalam dirinya.

“Satu benda yang saya belajar dan teroka adalah memasak. Jadi, apabila sudah banyak masa terluang, saya belajar memasak. Tak sangka seronok juga memasak sendiri.

“Setakat ini, saya dah boleh masak pasta dan rasanya juga tak mengecewakan, katanya.

Selain itu, Ismail juga banyak menghabiskan masanya dengan menghasilkan beberapa video dan berinteraksi dengan peminat secara langsung di Instagram.

“Pada peringkat awal PKP, saya ada hasilkan beberapa lagu untuk mengisi masa terluang. Kebanyakannya adalah lagu nasihat supaya orang duduk di rumah.

“Kadang-kadang dalam kita berhibur dan berinteraksi dengan peminat di Instagram, saya selitkan juga nasihat sebab tak semua orang mengikut arahan. Jadi, kita sama-sama berikan ingatan buat semua, katanya.

Sebagai artis, Ismail juga tidak terlepas daripada berdepan kesan PKP terhadap kerjaya seninya.

“Kesan PKP itu memang saya rasakan juga, tapi kita sebagai rakyat kena berikan kerjasama kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan kita dapat memerangi Covid-19 ini.

“Dari segi acara persembahan, ada lebih kurang 10 persembahan yang dibatalkan. Saya sepatutnya ke Indonesia dan Thailand untuk menjayakan acara persembahan serta kempen, namun terpaksa ditangguhkan.

“Apabila kerja ditangguhkan, bayaran juga terpaksa ditangguhkan. Namun, itu semua saya anggap sebagai ujian dan dugaan, katanya.

Menutup sesi perbualan, Ismail mengingatkan semua supaya patuh perintah kerajaan dan hadapi ujian ini sebagai satu pengajaran.

“Anggap ini sebagai pengalaman buat kita semua pada masa akan datang dan akan sentiasa lebih berjaga-jaga sekiranya krisis seumpama ini berulang, katanya.