‘Terima kasih peminat’

BEGITU pantas masa berlalu, kini sudah 11 tahun penyanyi dan pelakon, Azzam Sham membina nama dan mengketengahkan bakatnya dalam kerjaya seni.

Bermula di pentas Idola Kecil 2009 terbitan TV9 ketika kanak-kanak, kini Azzam, 23, beraksi pula di pentas nyanyian berprestij, Big Stage 2020.

Malah, pemilik nama sebenar Muhammad Azzammuddin Lop Hisham ini nekad menyahut cabaran untuk terus menempa nama.

Sudah empat minggu bertarung di Big Stage 2020, Azzam jelas dilihat bersaing rapat dengan penyanyi Usop Mentor.

Mengulas mengenainya, Azzam yang sudah mempunyai lagu solo berjudul Biar Saja berkata, semua peserta ada kehebatan masing-masing.

“Saya tidak pernah melihat Usop sebagai saingan utama di pentas Big Stage 2020 kerana semua peserta bertanding ada potensi mereka.

“Bagi saya, apa yang paling utama belajar daripada setiap persembahan dibuat peserta lain kerana begitu mantap.

“Ditambah, pembabitan saya di Big Stage 2020 ini untuk ketengah bakat dan kukuhkan nama dalam kerjaya seni semula,” katanya.

Berbicara lanjut, Azzam berkata, paling bermakna baginya apabila kini jumlah peminat di media sosial makin bertambah.

“Selain itu, saya pun tidak sangka ada ramai peminat yang sanggup menghantar undian buat saya setiap minggu.

“Malah, satu pengalaman yang menarik lagi apabila kemunculan saya begitu mendapat sokongan padu daripada peminat.

“Saya hanya mampu berterima kasih kepada mereka (peminat) kerana sanggup memberi sokongan sebesar ini,” katanya.

Azzam yang cukup merendah diri berkata, perjalanannya dalam kerjaya seni masih jauh dan dia perlu lebih fokus.

“Matlamat saya menyertai Big Stage 2020 kerana mahu membuktikan bakat dan menjenamakan semula nama.

“Apatah lagi, saya juga sebelum ini sangat jarang muncul dalam program TV dan alhamdulillah, ramai peminat masih nak tengok saya,” katanya.

Selain peminat, yang pasti Azzam juga mendapat sokongan mantap daripada teman wanitanya iaitu penyanyi Sheryl Shazwanie, 23.

Sheryl dikatakan datang setiap minggu ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk menyaksikan persembahan Azzam.

Tidak menyembunyikan hubungan rapat dijalin, Azzam dan Sheryl lebih memilih untuk berterus-terang kepada peminat.

Selain Azzam, peserta lain masih bersaing dalam Big Stage 2020 ialah Usop, Qody Rany, Nana Sheme, Farisha Irish, Fadh Majid, Dinie Rashid dan Hafiz Zainal.

Takkan lupa senyuman Sandra

Biarpun persaingan Big Stage 2020 kini di pertengahan jalan, namun ada kisah sedih menyelubungi baru-baru ini.

Kematian salah seorang peserta iaitu Sandra Dianne akibat kemalangan jalan raya pada 11 September lalu cukup mengejutkan.

Selepas bertarung lebih lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya kerana koma, Sandra akhirnya dijemput Yang Maha Esa.

Berbicara mengenai Allahyarham yang pernah popular dengan lagu Hey Kau itu, Azzam berkata, Sandra seorang pendiam, tetapi suka senyum.

“Walaupun tak rapat dengannya (arwah Sandra), saya pernah bertanya kenapa dia macam suka mendiamkan diri.

“Saya masih ingat lagi jawapannya yang memaklumkan dia seorang yang akan bercakap dengan orang lain bila perlu.

“Mendengar jawapannya, saya dapat rasakan dia sangat baik. Ditambah, dia juga tidak lokek dengan senyuman,” katanya.

Menurut Azzam, memori yang akan terus diingati terhadap Sandra ialah senyuman yang sentiasa terukir.

“Biarpun kurang bercakap dan suka buat hal sendiri, tapi keperibadian Sandra yang saya puji adalah dia suka senyum.

“Setiap hari dia akan senyum dengan semua orang. Malah, kalau tegur kawan-kawan pun tetap sambil tersenyum,” katanya.

Sehubungan itu, malam semalam persembahan konsert minggu kelima Big Stage 2020 dibatalkan dan diganti dengan persembahan ‘tribute’ khas iaitu #SandraDalamKenangan.