Teringin jumpa polis seiras arwah adik

“INSYA-ALLAH, kalau dapat berjumpa Ramadan ini, memang amat bermakna puasa dan Aidilfitri kami sekeluarga tahun ini.

“Sekurang-kurangnya dapat juga mengubat kerinduan kami terhadap arwah adik,” kata Ismail Mohd Razak, 42.

Dengan kuasa media sosial, Ismail berjaya menjejaki pemuda dikenali sebagai Asyraf, 24, yang wajahnya seiras arwah adiknya, Abdul Jalil yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu.

Ismail berkata, pencariannya menjejaki Asyraf bermula 13 April lalu selepas gambar anggota polis itu bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tular di media sosial.

“Saya sebak ketika kali pertama isteri menunjukkan gambar Asyraf, tidak semena-mena saya teringatkan detik saya menguruskan jenazah arwah adik.

“Saya tengok mukanya yang terkena sunburn itu memang hampir mirip adik dan sejak itu saya mula mencarinya melalui media sosial.

“Alhamdulillah, hanya dalam beberapa jam saja, dia menghantar mesej pesanan melalui WhatsApp selepas seorang rakannya memberikan nombor telefon saya kepadanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, selain dia, ibunya, Asmah Man, 63, orang paling gembira dengan berita penemuan itu berikutan rapat dengan arwah adiknya.

“Seperti saya, mak dan arwah adik juga sangat rapat.

“Ketika saya memberitahu mak ada lelaki seiras arwah adik, mak terharu dan gembira mahu berjumpa dengannya.

“Mungkin selama ini dia merindui arwah adik tapi cuma tak meluahkan saja,” katanya.

Seolah-olah semuanya dipermudahkan, menurut Ismail, rupanya Asyraf menetap di Seberang Perai, Pulau Pinang tidak jauh dari kediaman keluarganya yang terletak di Nibong Tebal.

“Saya ada menjemputnya datang ke rumah kami untuk berjumpa dengan ahli keluarga dan mak saya.

“Insya-Allah, jika ada masa sesuai selepas PKP ini, saya harap apa yang dirancang menjadi kenyataan.

“Saya juga berterima kasih kepada semua yang membantu, doakan ini permulaan yang baik untuk kami sekeluarga,” katanya.

Sebelum ini, gambar Asyraf yang wajahnya berbelang bersama rakan setugas lain tular menggambarkan pengorbanan anggota polis bertugas tidak mengira waktu ketika PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan