[TERKINI] Pesawat terhempas di Kepulauan Seribu

Jakarta: Pesawat komersial Sriwijaya Air dikhuatiri terhempas di perairan Kepulauan Seribu selepas hanya empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menuju ke Pontianak, hari ini.

Ketua Polis Metro Jaya (Jakarta) Yusri Yunus dipetik media tempatan berkata, terdapat maklumat awal daripada nelayan di kawasan berkenaan yang mendakwa pesawat berkenaan terhempas di perairan itu.

Menurut laporan televisyen tempatan, yang menyiarkan video dirakam nelayan, menunjukkan mereka (nelayan) menemukan beberapa serpihan kecil terapung di perairan berkenaan.

“Ketika ini pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi telah ke lokasi perairan berkenaan,” kata Yusri.

Setakat jam 7 malam (waktu Indonesia Barat), belum ada penyataan rasmi daripada Kementerian Perhubungan (Pengangkutan) atau syarikat penerbangan Sriwijaya Air, berkaitan dakwaan nelayan berkenaan.

Sementara itu, Kompas.com melaporkan, Ketua Daerah Kepulauan Seribu, Djunaedi turut mengesahkan maklumat berkenaan.

Djunaedi berkata, kejadian itu disedari penduduk setempat yang kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Dari penduduk setempat kita terima informasi nelayan tempatan melihat ledakan api.

“Ya saya dapat informasi dari nelayan ada orang yang minta tolong, ada ledakan api di sekitar Pulau Laki,” katanya.

Manakala TV One Indonesia melaporkan sebuah kapal peronda pemerintah menjumpai cebisan daging manusia di sekitar lokasi di mana pesawat itu dipercayai terjatuh.

Kapten kapal, Eko, berkata, mereka menuju ke lokasi berikutan laporan daripada nelayan tempatan yang mendengar bunyi letupan seperti guruh.

“Ada ditemui serpihan-serpihan dari daging, mungkin tubuh dari manusia,” katanya dilapor TV One.

Pesawat itu pada mulanya terputus hubungan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada Sabtu ketika dalam penerbangan ke Pontianak di wilayah Kalimantan Barat.

Pesawat jenis Boeing 737-500 itu dilapor membawa 62 penumpang termasuk lima anak kapal dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara selepas berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).

Berita berkaitan

• Pesawat Sriwijaya Air terhempas?