‘Tersembur air minum, PM tengok video shuffle’ [METROTV]

“KETIKA Perdana Menteri buat pengumuman 6 April secara langsung itu saya ada terpacak depan televisyen.

“Tersembur jugalah air saya minum sewaktu PM sebut bahawa beliau lihat video yang saya buat dan menjelaskan itu bukanlah buang tabiat sebaliknya kreativiti orang ramai mengisi masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Azrin Anwar Yahaya, 31.

Video dia menari shuffle berkain pelikat berlatar belakang lagu genre Electronic Dance Music (EDM) dengan olahan petikan ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya ayat ‘tetapi jika saudara-saudari masih bergerak ke sana ke sini’ terutamanya ayat ‘ke sana ke sini’ itu yang diulangi berulang-kali bukan saja mendapat perhatian netizen malah pemimpin berkenaan apabila mengakui turut melihat video itu.

Menurutnya, rakaman video dia menari dibantu isterinya, malah imej berkain pelikat adalah cetusan idea bernas isterinya itu yang suka menjadikannya bahan jenaka dalam Insta Story.

“Pada pagi Ahad itu (5 April 2020), saya dapat idea nak shuffle selepas mendapat rakaman audio muzik EDM kiriman rakan. Lagu itu bukan rap tetapi EDM berunsurkan ‘hard style’.

Menurutnya, dia memang suka

“Zaman remaja dulu memang saya suka shuffle dengan kawan-kawan saya….yang pasal kain pelekat, itu idea isteri saya. Dia suka jadikan saya bahan jenaka dalam Insta Story dia,” katanya.

Menurutnya, selepas rakaman video selama 10 minit dengan memasukkan petikan ucapan PM pada 25 Mac lalu siap, dia kongsikan dengan rakan.

“Kemudian mereka ‘bakar’ supaya post atau paparkan video itu untuk tontonan umum. Selepas muat naik video itu untuk umum, saya malu pula.

“Tiba-tiba malam Ahad hari sama itu, ramai rakan tak berhenti menghantar mesej. Video saya shuffle hanya itu saja. Tetapi sebelum ini adalah saya buat lawak ‘mereng’ di Instagram yang berkaitan dengan industri saya ceburi,” katanya yang bekerja sendiri dalam bidang teknologi audio dan pencahayaan.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan terbarunya boleh lihat di Facebook: Azrin Anwar Yahaya atau Instagram: @azrinanwar atau Youtube: Azrin Anwar Yahaya.

“Dengan situasi PKP sekarang, saya hendak nasihat kepada semua untuk duduk di rumah. Tak usahlah ke sana ke sini supaya kita bersama-sama boleh memutuskan rantaian penularan virus Covid-19 daripada terus merebak…hidup shuffle!,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan