Tersenyum imbas kisah cinta

NAMA penyanyi berbakat ini sentiasa meniti di bibir peminat dan pencinta muzik tanah air. Berbekalkan karya yang dihasilkan, dia berjaya mengumpul pengaruh tersendiri.

Bukan saja hebat dalam nyanyian, malah Aina Abdul turut mencuri perhatian dalam bidang penciptaan lagu. Boleh dikatakan kebanyakan lagu dihasilkan sendiri sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan ‘singer songwriter’ yang lain.

Selepas muncul dengan beberapa single, Aina yang popular menerusi lagu Sumpah dan Semalam hadir dengan buah tangan terbaharu iaitu lagu duet bersama Khai Bahar.

Enggan menunggu lama, kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya malah lamaran Aina untuk berduet disambut baik Khai sehingga terhasilnya lagu Nafas Cinta yang dilancarkan serentak dengan video muzik rasmi di saluran YouTube Universal Music Malaysia, kelmarin.

Menurut Aina, 27, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, lagu Nafas Cinta dicipta khas bagi memberikan nafas baharu dalam muzik mereka berdua apabila lagu itu ditujukan buat pasangan yang sedang bercinta sehingga melangkah ke alam perkahwinan.

“Lagu ini sangat mencabar, cuma bunyi kedengaran santai. Dari segi kekuatan vokal masih ditonjolkan, tapi kami berbincang dan bersetuju untuk ketengahkan emosi serta perasaan yang relaks dan santai.

“Mesej lagu Nafas Cinta ini sangat berbeza dengan lagu lain yang saya tulis. Lagu ini lebih ‘muda’ dan menyasarkan golongan remaja. Jadi, disebabkan itu saya sangat berharap lagu ini diterima baik dan dekat dengan mereka.

“Secara tidak langsung, apabila mendengar lagu ini mereka akan tersenyum dan gembira selain mengimbas kisah cinta mereka. Sebab ini bukan lagu berat macam sebelumnya. Pendek kata, ‘feel’ lagu sangat romantis dan ‘sweet’,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasama yang terjalin, Aina berkata, ia tercetus selepas mereka berduet dengan menyanyikan semula lagu ‘Just Give Me A Reason’ dan ditayangkan di saluran YouTube masing-masing.

“Saya memang jarang ada ‘contact’ dengan penyanyi lain. Apabila Khai sudi buat ‘cover’ di YouTube, saya sangat gembira. Tidak menjangka pula duet itu mendapat maklum balas sangat baik daripada peminat kami.

“Kemudian, Khai menjemput saya untuk menyanyi dengannya pada Konsert Minggu Ini Bersama Khai Bahar di RTM. Ketika itu, saya cakap kepada pengurus, alang-alang sudah berkenalan kita boleh buat satu lagu. Jadi, saya dan pengurus memberi idea itu kepada pihak Khai dan dia pun okey.

“Saya terus buat melodi lagu Nafas Cinta dan Khai pun berikan input untuk melengkapkan lagu ini. Jadi, melodi dan lirik lagu ini kami hasilkan bersama,” katanya.

Aina berkata, proses menghasilkan Nafas Cinta dipermudahkan walaupun rakaman dijalankan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Bagi mencipta kererasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk rakaman. Pertama, Khai datang merakam demo dulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi dan maksud lagu. Kali kedua baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia ambil masa juga.

“Tapi, Khai sangat membantu dan dia sangat menyokong. Walaupun saya masih baharu, tapi dia sangat merendah diri. Khai tidak kisah kena datang ke Seremban, tapi dia sangat memberikan kerjasama,” katanya.

DUET lagu Nafas Cinta dengan Khai.
DUET lagu Nafas Cinta dengan Khai.

Rezeki ke AJL35

Walaupun gagal mendapat tempat pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) menerusi lagu Sumpah, Aina tidak pernah patah semangat.

Sekali lagi, menerusi edisi AJL35 yang bakal berlangsung pada Februari tahun hadapan, Aina mempertaruhkan lagu ciptaan sepenuhnya, Semalam.

Itu menjadikan penyertaan kedua Aina pada acara berprestij yang mengangkat karya komposer dan penulis lirik.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur berjaya melayakkan diri ke pentas akhir ini. Sebagai penyanyi baharu, ini penghargaan yang sangat tinggi untuk saya.

“Saya sangat berterima kasih kepada barisan juri dan pihak TV3 yang memberikan peluang kepada lagu Semalam. Sudah tentunya saya tak akan dapat buat semua ini tanpa bantuan pasukan yang menjadi kekuatan saya.

“Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada peminat saya, Ainations. Mereka menjadi nadi dan pembakar semangat untuk saya terus melangkah. Insya-Allah, saya akan memberikan persembahan yang bakal diingati semua pada malam AJL35 nanti,” katanya.