Teruskan kerja amalmu Ebit Liew

PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew dinasihati supaya tidak menganggap ujian yang menimpanya ketika ini sebagai faktor untuk tidak lagi meneruskan kerja kebajikan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Ebit juga tidak perlu menyimpan segala kritikan dan tohmahan pihak tertentu di dalam hati sehingga boleh menjejaskan kerja yang dilakukannya selama ini.

Katanya, perkara yang menimpa Ebit berkemungkinan sebagai ujian Allah bagi menambahkan kebaikannya atau untuk pembaikan di atas segala amalan yang dilakukan dahulu.

“Ebit Lew tidak perlu nak simpan dalam hati sangatlah untuk benda yang macam itu (tohmahan pihak tertentu).

“Jika dia ikhlas membantu orang, pasti tidak ada masalah (yang timbul) dan jangan disimpan kerana di dalam dunia ketika ini memang sudah lumrahnya macam itu.

“Sudah lumrah apabila manusia melihat seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang baik, pasti mereka akan memberikan pandangan atau kritikan.

“Malah penyanyi yang tugasnya menghiburkan orang pun tidak terlepas dari dikritik,” katanya dalam kuliah yang dirakam secara langsung di Facebook hari ini.

Semalam, Ebit menerusi hantaran di Facebook membuat keputusan untuk tidak lagi membantu secara langsung golongan yang kurang berkemampuan.

Mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan keikhlasan Ebit, Mohd Asri berkata, sebagai manusia biasa, ia bukanlah satu urusan yang perlu dicampuri kerana ia membabitkan amalan atau niat individu dengan tuhannya.

“Orang memberikan sedekah, bukanlah urusan kita untuk mengetahui sama ada pemberi itu ikhlas atau tidak kerana itu antara dia dengan Allah.

“Ikhlas ini rahsia, jika seseorang itu ikhlas (melakukan kebajikan) dia memperoleh pahala dan jika sebaliknya dia tidak dapat pahala tetapi dapat dosa.

“Cuma orang yang menerima bantuan itu dapatlah barangan keperluannya seperti yang diberi,” katanya.

Mohd Asri berkata, beliau yakin Ebit adalah individu yang bertanggungjawab dan ikhlas dalam melakukan amal kebajikan.

“Kami pernah berjumpa di rumah saya, saya percaya dia ini Insya Allah orang yang buat kerja baik,” katanya.