Tesla masih bertahan, Elon Musk pula bimbang

Musk tidak menentang langkah berkurung tetapi bimbang akan nasib mereka yang terpaksa berhadapan risiko kehilangan mata pencarian. – Gambar/Facebook

PERMINTAAN pasaran untuk kereta elektrik, Tesla masih stabil untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, walaupun dunia sedang bertarung dengan wabak COVID-19.

Namun penutupan kilang dan penghantaran yang terhad susulan perintah berkurung menyukarkan mereka membuat ramalan untuk beberapa bulan akan datang.

"Saya melihat situasi sekarang seperti memenjarakan orang ramai secara paksa di rumah dan ia bertentangan dengan hak mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk, ketika satu sesi mesyuarat dalam talian bersama pelabur, pada Rabu.

Kata Musk, walaupun Tesla mungkin berjaya keluar dari situasi kewangan yang tidak stabil, terdapat banyak syarikat kecil lain yang akan berhadapan masalah.

"Saya tidak bercakap bagi pihak Tesla sahaja, tetapi syarikat-syarikat lain juga. Kami mungkin boleh serap tekanan ekonomi seperti yang berlaku sekarang, tetapi bagaimana pula dengan syarikat-syarikat kecil?" soalnya.

Musk menerusi Twitter sebelum ini memuat naik status berbunyi 'Bebaskan Amerika sekarang', yang dipercayai merujuk kepada gesaan agar negara itu segera menamatkan perintah berkurung.

Musk menekankan dia tidak menentang langkah berkurung untuk mengekang wabak berkenaan, tetapi bimbang akan nasib mereka yang terpaksa berhadapan risiko kehilangan mata pencarian.

Setakat ini, Tesla dilaporkan masih mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan kira-kira 500,000 kereta tahun ini, namun situasi berkenaan mungkin perubahan kerana belum ada tarikh jelas bila syarikat boleh beroperasi sepenuhnya.