Tetamu akad nikah Fatin dan Azlan diminta jalani saringan Covid-19

Georgetown: Individu yang hadir ke majlis akad nikah di Bukit Indera Muda di Seberang Perai Tengah (SPT) pada 29 Ogos lalu diminta untuk menjalani ujian saringan berikutan seorang tetamunya didapati positif Covid-19.

Mereka juga diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah SPT di talian 04-5397884.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi mengesahkan notis yang tular hari ini di media sosial berkenaan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah SPT.

“Pegawai kami sedang menguruskan senarai mereka (yang hadir) itu,” katanya.

Dr Asmayani berkata, hanya itu maklumat yang pihaknya perolehi setakat ini dan pihaknya masih belum dapat mengesahkan berapa ramai tetamu yang hadir ke majlis itu.

Difahamkan, tetamu yang disahkan positif Covid-19 dijangkiti menerusi Kluster Sungai dan kini dirawat di Alor Setar.

Berdasarkan notis yang tular itu, tetamu yang hadir ke majlis akad nikah (Fatin & Azlan) pada tarikh itu diminta hubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah SPT.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19